EKONOMI Malaysia dijangka mula menyederhana beberapa bulan ke hadapan pada tahun 2023, kesan daripada ketidaktentuan ekonomi global, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Oktober 2022, Indeks Pelopor (IP) mula mencatatkan arah aliran di bawah trend 100.0 mata.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pelopor Malaysia meningkat 0.4 peratus kepada 109.6 mata pada bulan Oktober 2022 berbanding 109.2 mata pada bulan yang sama tahun lepas, peningkatan sebanyak 0.4 mata indeks.
"Kenaikan ini disokong oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain," katanya.
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi bulanan, Indeks Pelopor mencatatkan negatif 0.3 peratus pada bulan rujukan berbanding negatif 1.3 peratus pada September 2022," tambah kenyataan itu.
Trend ini didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.6 peratus), import benar semikonduktor (0.3 peratus), penawaran wang benar, M1 (0.1 peratus) dan jangkaan nilai jualan untuk pembuatan (0.1 peratus).
Indeks Pelopor merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
"Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan peningkatan 6.5 peratus tahun ke tahun kepada 120.5 mata pada Oktober 2022 (Oktober 2021: 113.1 mata).
"Sebaliknya perubahan bulanan IS mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus yang disebabkan oleh penurunan Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.4 peratus), kapasiti penggunaan, pembuatan (-0.3 peratus) dan nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (-0.1 peratus),” kata kenyataan itu. - Bernama