SHAH ALAM - Seramai 8,500 pemilik unit kediaman yang berharga RM300,000 ke bawah boleh menarik nafas lega susulan langkah kerajaan berhubung pengurangan cukai taksiran pada tahun hadapan yang dilihat dapat meringankan beban kewangan warga Putrajaya terutama penjawat awam.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, penduduk berharap pengurangan cukai taksiran tersebut dapat dikekalkan untuk jangka masa lebih panjang demi kelangsungan hidup.
"Saya yakin 'hadiah' ini akan meningkatkan lagi semangat para penjawat awam dan penduduk Putrajaya yang terkesan peningkatan kos sara hidup.
"Bagaimanapun, diharap pengurangan kutipan cukai ini tidak akan menjejaskan operasi dan kualiti perkhidmatan pihak Perbadanan Putrajaya kepada warganya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, kerajaan memberikan potongan cukai taksiran sebanyak 30 peratus bagi semua kediaman di Putrajaya yang berharga bawah RM300,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan rungutan penduduk di Putrajaya mengenai cukai yang dikenakan agak tinggi berbanding kawasan lain.
Dalam pada itu, ujar Mohd Hisamudin, pengurangan tersebut sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang mendengar keluh kesah rakyat terutama golongan M40 dan B40 di Putrajaya kerana kutipan terdahulu sememangnya lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan lain.
"Kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti akan menekan kehidupan mereka dan diskaun sebegini sudah pasti ditunggu-tunggu memandangkan krisis ekonomi di seluruh dunia pada tahun 2023 lebih mencabar.
"Ternyata Perdana Menteri tidak menunggu lama untuk membuat sesuatu keputusan yang memihak kepada penjawat awam termasuk pesara yang terbeban dengan kadar cukai taksiran yang tinggi,” ujarnya.