Nilai sejarah jadi sempit jika dipolitikkan

Iklan
Mohd Asmirul (tengah) ketika menjawab pertanyaan pada hari kedua Sidang DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman.

ALOR SETAR - Nilai sejarah di Kedah akan menjadi sempit dan tidak mampu dikembangkan jika ada pihak cuba mempolitikkannya seperti isu tugu Jepun di pekarangan Muzium Negeri Kedah yang heboh diperkatakan di seluruh negara pada penghujung Mac lalu.

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, tugu tersebut adalah artifak sejarah yang telah ada sejak 1941 dan dibaiki sedikit demi sedikit untuk menceritakan tentang sejarah bagi mendidik pelajar, warga universiti dan penduduk Kedah terutamanya dengan meletakkan papan tanda 'no war'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu tugu Jepun tersebut timbul berikutan kesilapan mencetak perkataan wira di gegantung yang sepatutnya ditulis sebagai askar sahaja namun tular serta menarik perhatian ramai.

"Versi kita pada papan kenyataan tersebut ditulis tiga askar Jepun dan bagi versi Jepun pula ditulis tiga wira Jepun. Sebenarnya, ada kesilapan semasa mencetak nama-nama tersebut di gegantung semasa perasmian program tersebut. Kami sudah pun memohon maaf tentang perkara ini.

Iklan

"Jika kita menggunakan sentimen sempit dan menjadikannya sebagai elemen politik, maka nilai sejarah ini akan setakat itu sahajalah (nilai sejarah tidak dapat dikembangkan)," katanya semasa menjawab soalan lisan dari Adun Bukit Lada, Salim Mahmood yang bertanya isu tugu Jepun yang dikritik ramai berikutan seolah-olah Kerajaan Negeri Kedah tidak sensitif dengan situasi dan kekejaman Jepun semasa menduduki Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Mohd Asmirul berkata, tugu tersebut mampu menarik pelancong-pelancong dari seluruh negara termasuk pelancong Jepun hadir ke Alor Setar untuk melihat artifak berkenaan.

Iklan

"Pihak kami juga mempunyai perancangan di Pekan Cina, Pekan Melayu dan Dataran Masjid Zahir yang juga merupakan laluan kepada pelancong dalam dan luar negara yang datang ke bandaraya Alor Setar," katanya.

Menurutnya, pihak Muzium Negeri Kedah sudah mengenali dan membangunkan beberapa tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah di negeri ini.

"Sebelum ini kita ada buat Makam Sultan Kedah ke-14 Sultan Muhyiddin Mansur Syah di Kampung Chegar, Tunjang. Penduduk berasa seronok dan mahu masjid di kampung tersebut dinamakan sempena nama tersebut," katanya.

Beliau turut memberikan contoh beberapa tinggalan sejarah milik penjajah di negara ini seperti Kota A Famosa di Melaka dan sejarah milik Francis Light di Pulau Pinang yang tidak dikecam sebaliknya menjadi tumpuan.

Pada 24 Mac lalu, tular di laman sosial berhubung perasmian tugu Jepun bahawa kerajaan negeri mengiktiraf tentera Jepun yang terkorban semasa zaman penjajah dahulu sebagai wira.

Kritikan yang hebat tersebut melalui netizen di media sosial termasuk mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak menyaksikan papan maklumat pada tugu Jepun itu diturunkan semula pada keesokan harinya.