FAMA tingkat bekalan, agih 39.78 juta telur pada Januari

Iklan
Haslina (tiga dari kanan) melawat program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang diadakan di perkarangan ibu pejabat FAMA.

SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan pemasaran agromakanan negara khususnya pengedaran komoditi telur ayam bagi keperluan pasaran domestik.

Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Haslina Abdul Hamid dalam kenyataan komunikasi korporat FAMA berkata, bagi menampung bekalan telur ayam di pasaran, sejumlah 1.326 juta papan atau 39.78 juta biji telur akan diagihkan secara meluas ke seluruh negara melalui 534 outlet peruncitan FAMA di sepanjang Januari hingga Jun tahun 2023.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, bermula akhir November sehingga 22 Disember 2022, sebanyak 87,300 papan atau 2.619 juta biji telur ayam telah diedarkan secara langsung ke seluruh negara.

"FAMA akan memastikan ketersediaan bekalan agromakanan seperti telur ayam ini akan mudah diperolehi oleh pengguna melalui rangkaian outlet peruncitan FAMA seperti di Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat dan lain-lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah menerusi kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) itu dilaksanakan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap komoditi berkenaan di samping mengurangkan rungutan pengguna yang berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

"Minggu lalu, MAFS membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan yang lepas.

Iklan

"MAFS telah membenarkan kemasukan telur ayam dari negara India melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan," ujarnya.

Menurutnya, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif, selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat.

"FAMA diberi kepercayaan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) untuk membekalkan kit makanan sejak tahun 2015 hingga kini. Satu persetujuan telah dimeterai secara dasarnya supaya FAMA menyediakan 62,500 kit makanan.

"Dalam hal ini, usaha MAFS melalui FAMA dalam melaksanakan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) adalah bertepatan dan dilihat bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguatkuasa semata-mata," jelasnya.