Penantian lebih sedekad berakhir

Iklan
Rodziah (tiga dari kiri) bersama Nor Fuad (tiga kanan) ketika membuat lawatan di lokasi pada Jumaat.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menamatkan penantian lebih sedekad penghuni Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, di sini, apabila bersetuju menyalurkan peruntukan hampir RM25 juta.

Peruntukan bagi membaiki retakan dikesan pada beberapa tiang di tempat parkir kenderaan pangsapuri berkenaan termasuk isu lain yang dihadapi penghuni berikutan sikap lepas tangan pemaju sejak 2010.

Iklan
Iklan

Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, kerja-kerja baik pulih kawasan terjejas itu akan bermula pada Januari tahun depan.

"Akhirnya kerajaan bersetuju untuk membaik pulih dan kembalikan keadaannya kepada asal dengan nilai sebanyak hampir RM25 juta untuk kerja-kerja baik pulih bermula pada 12 Januari depan.

Iklan

"Antara akan dibaiki membabitkan 10 perkara termasuk retakan di kawasan parkir dan masalah lain iaitu sistem sivil, paip bomba yang pecah dan lain-lain, termasuk air bertakung di bawah bangunan.

"Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga begitu prihatin terhadap perkara ini dan beliau sendiri akan datang melihat sendiri bagaimana perkembangan (kerja-kerja berkaitan) pada Januari depan," katanya.

Pangsapuri Indahria

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat lawatan dan bertemu penghuni Pangsapuri Indahria bersama Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid di Seksyen 22, di sini, pada Jumaat.

Rodziah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam telah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) berhubung kerja-kerja baik pulih tersebut.

"IKRAM turut memaklumkan penghuni juga tidak perlu berpindah namun mungkin terdapat ketidakselesaan dengan bunyi bising apabila kerja-kerja (baik-pulih) akan bermula pada jam 7 pagi hingga 8 malam.

"Saya berharap penduduk dapat bersabar dalam tempoh setahun ini dan IKRAM mempunyai banyak pengalaman dalam perkara ini, kalau tidak, tidak mungkin MBSA lantik mereka yang tidak kompeten, kita tidak mahu kes seperti ini berulang kalau boleh kita mahu selesaikan," katanya.

Ketika ditanya mengapa kerajaan negeri mengambil masa agak lama bagi menyelesaikan masalah penghuni di situ, Rodziah berkata, wujud pelbagai kekangan kerana kawasan itu dimajukan pihak swasta.

Bagaimanapun katanya, pihak pemaju tidak akan 'dilepaskan' begitu sahaja sebaliknya kerajaan negeri mempunyai kaedah tertentu bagi memastikan mereka bertanggungjawab.