Salur peruntukan sambutan Tahun Baharu kepada mangsa banjir

Iklan
Mangsa banjir mula kembali ke rumah masing-masing untuk membersihkan perabot dan rumah selepas paras air mulai surut di Kampung Durian Mentangau pada Jumaat. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan peruntukan bagi mengadakan majlis besar-besaran dan sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 oleh agensi kerajaan, disalurkan kepada mangsa dan pemain industri pelancongan yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran serta pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis bagi mengelak pembaziran perbelanjaan.

"Keputusan ini dibuat tepat pada masanya dan merupakan tindakan terpuji, lebih-lebih lagi di saat negara berdepan peristiwa duka susulan kejadian banjir yang berlaku di Pantai Timur serta tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan banyak nyawa termasuk kanak-kanak.

"Sehubungan itu MOTAC akan membantu sedaya upaya bagi memastikan pemain industri yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kumpulan penting dalam mempromosikan Malaysia di mata dunia ini, dapat kembali bangkit pasca-banjir,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membuat keputusan membatalkan penganjuran penganjuran Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka yang dijadualkan pada 31 Disember ini. - Bernama