BNM perlu gembleng usaha perangi sindiket penipuan

Iklan
Steven (kiri) dan Marzunisham

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menggembleng usaha bersama pihak berkuasa lain dalam memerangi sindiket penipuan wang dalam talian.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim berkata, usaha tersebut merangkumi beberapa penelitian melibatkan aspek keselamatan pendeposit seperti pemulangan wang mereka dan tindakan undang-undang ke atas pelaku jenayah berkenaan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, satu pertemuan telah diadakan antara beliau dengan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar bagi membincangkannya.

"Seperti yang saya janji, selepas saja Parlimen meluluskan belanjawan sementara, saya meluangkan lebih dua jam di BNM bersama Marzunisham tentang penipuan kewangan.

Iklan

"Benda ini dekat dengan hati saya sebab ini melibatkan wang hasil keringat rakyat," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

"Saya minta BNM sebagai pihak berkuasa sektor perbankan bergembleng dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) teliti aspek keselamatan, respons dan pemulangan wang yang ditipu, jaminan kepada pendeposit dan hukuman atas pesalah," katanya.

Iklan

Pada masa sama, Steven menambah, proses aduan, siasatan dan pemulangan wang turut diarah untuk dipertingkatkan.

"Sebenarnya beberapa langkah sudah mula dilaksana tapi masih banyak boleh dilakukan. Contoh, dari segi respon sekarang sudah ada talian 997 untuk aduan penipuan kewangan.

"Tapi saya minta agar dipertingkatkan lagi proses aduan, siasatan dan pemulangan wang,” jelasnya.

Ujar beliau, BNM diminta untuk mengkaji perkongsian liabiliti secara adil antara bank dan pendeposit.

"Bukan pendeposit saja yang terpaksa tanggung segala kerugian dengan alasan kecuaian.

"Saya tahu bukan mudah, cabaran ini bukan sahaja di Malaysia, juga di negara-negara lain tapi kita perlu cuba sedaya upaya,” kata beliau.