Pesara guru rugi lebih RM100,000 ditipu 'pegawai mahkamah'

Iklan
Pesara guru wanita kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam. - Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang pesara guru wanita kerugian RM128,037 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa beliau mempunyai saman mahkamah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian berlaku pada 14 Disember lalu selepas mangsa yang berusia 60-an menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar pegawai mahkamah Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek tersebut mendakwa mangsa mempunyai saman mahkamah kerana tidak membayar tunggakan Touch N Go sebanyak RM11,800.

"Mangsa telah disambungkan ke beberapa individu yang menyamar sebagai polis dan individu tersebut telah memberitahu mangsa mempunyai rekod kes jenayah dan meminta memindahkan wang bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan.

Iklan

"Mangsa kemudiannya telah mengikut arahan suspek dan mengalami kerugian sebanyak RM128,037," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ramli menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dan membuat semakan terperinci terlebih dahulu sebelum bertindak.

Iklan

"Orang ramai juga dinasihatkan jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad ATM mahupun nombor TAC kepada pihak lain untuk digunakan bagi saja urusan," tambah beliau.