Banjir: Pilih rakyat, bukan percutian - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika melawat PPS di Sekolah Rendah Kuala Besut, Terengganu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati semua pihak terutama pemimpin untuk lebih mengutamakan rakyat yang kini terhimpit dengan bencana banjir berbanding percutian.

Beliau berkata, mana-mana pihak perlu lebih bersedia menghadapi situasi banjir lebih-lebih lagi bencana itu boleh dijangka khususnya pada musim tengkujuh di Pantai Timur kerana perubahan monsun yang melibatkan faktor semula jadi dan geografi.

Iklan
Iklan

"Di sinilah keprihatinan pemimpin dituntut dan dinilai oleh rakyat," katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Pada 20 Disember lalu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berada di New Zealand walaupun negeri itu sedang dilanda banjir.

Iklan

Lokman turut mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland, New Zealand pada 11 Disember dan hanya dijangka pulang pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Ahmad Samsuri tampil meminta maaf secara terbuka kerana tidak berada bersama rakyat negeri itu ketika mereka terlibat dalam bencana banjir.

Iklan

Malah dia juga mengakui tidak ada sebarang alasan untuk beliau tidak bersama-sama mereka dalam tempoh yang kritikal itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menegur bahawa antara punca banjir adalah daripada manusia sendiri yang melakukan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara tidak terkawal.

"Justeru, kerakusan mereka itu mengakibatkan ekosistem terjejas teruk. Kawasan tadahan hujan hilang fungsi. Kesemua ini menuntut kesedaran bersama untuk menstabilkan kembali ekosistem alam ini.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memang dalam keadaan bersiap siaga 24 jam, ada kepakaran dan kelengkapan.

"Namun apabila berlakunya banjir besar ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan hasil tanaman dan ternakan, kerosakan harta benda dan boleh memusnahkan kemudahan infrastruktur yang ada," ujarnya.

Tambahnya, mangsa banjir pula mengalami trauma dan menanggung kerugian besar seperti kenderaan rosak dan hilang harta benda hingga menyebabkan pendapatan terjejas mereka.

"Oleh itu, kerajaan negeri diminta merancang lebih baik bagi persediaan menghadapi banjir besar akan tetapi lebih penting ialah langkah pencegahan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

"Selain penguatkuasaan atau pembanterasan penerokaan hutan secara haram, penerokaan hutan tanpa peduli pemeliharaan alam sekitar perlulah dihentikan.

"Yang paling asas, sistem saliran dan perparitan perlu lebih terjaga termasuk aspek pedalaman agar diselenggarakan lebih baik agar tidak berlaku takungan air, dan tersumbat. Ini penting agar tidak berlaku banjir kilat mahupun banjir besar di desa mahupun perumahan di kota," katanya.

Ujar beliau, budaya menyelenggarakan seumpama itu sepatutnya menjadi amalan kerja harian dan bukan ketika berlaku banjir baru diberikan perhatian.