MELAKA - Empat syarikat melibatkan antaranya sektor pembinaan dan komersial bakal berdepan tindakan mahkamah kerana terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram di negeri ini dalam tempoh Januari sehingga kini.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Khairuladha Ab Mutalib berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan bagi kes tersebut sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, empat syarikat kontraktor berkenaan akan diambil tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.
"Dua hari lepas, kami berjaya menumpaskan perbuatan sebuah syarikat pembinaan yang membuang sisa pembinaan seperti kayu dan serpihan batu bata di kawasan rizab Tenaga Nasional Berhad di Sungai Putat.
"Selain itu, tangkapan juga melibatkan syarikat kontraktor kutipan sampah tidak berlesen yang dilantik pihak industri untuk menguruskan sisa buangan kilang mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Jom Plogging @ Reforestation anjuran bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang dirasmikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datuk Shadan Othman.
Khairuladha berkata, bagi kutipan pembuangan sisa industri dan sebagainya, hanya kontraktor berlesen yang dilantik SWCorp dibenarkan melaksanakan pengurusan sisa terlibat yang akan dibuang terus ke tapak pelupusan sedia ada.
Beliau berkata setakat ini, lebih 100 kontraktor kutipan sampah berlesen di negeri itu telah dilantik pihaknya dan kaedah itu memudahkan urusan pemantauan pembuangan sampah atau sisa industri agar kegiatan pembuangan sampah haram dapat ditumpaskan.
Dalam perkembangan lain, katanya, kawasan pembuangan sampah haram di Melaka berjaya dikurangkan kepada 37 lokasi sehingga semalam berbanding 57 lokasi yang dikenal pasti bermula awal tahun ini.
"Antaranya lokasi pembuangan sampah haram yang masih beroperasi berulang kali walaupun kerja-kerja pembersihan telah dilakukan SWCorp ialah di kawasan perindustrian Krubong ekoran kedudukannya tersorok dan merupakan kawasan penagihan dadah.
"Kejayaan ini susulan pelbagai langkah proaktif yang kami lakukan untuk mengekang pembuangan sampah haram dan sampah longgok seperti meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan termasuk mengeluarkan lebih 300 notis pemberitahuan kesalahan dalam tempoh Januari hingga November tahun ini," katanya.
Beliau berkata selain itu, lebih 200 kempen dan program bagi meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan sampah termasuk amalan kitar semula di pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah dan komuniti juga telah dilaksanakan dalam tempoh berkenaan. - Bernama