BATANG KALI - Walaupun sering dianggap tugas renyah, namun tanggungjawab petugas pembersihan ternyata penting dalam memastikan kelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Father's Organic Farm dekat sini.
Petugas pembersihan, Khairul Hafizi, 42, berkata, dia bersama tujuh lagi rakannya telah berada di lokasi kejadian sejak hari pertama tragedi itu berlaku, 16 Disember lalu.
Menurutnya, cuaca yang tidak menentu dan laluan yang sempit susulan dipenuhi pelbagai kenderaan petugas merupakan cabaran utama sepanjang berada di lokasi
"Sehari kita akan buat dua ke tiga 'trip' pengutipan sampah di lokasi SAR, selalunya sekali pada waktu petang dan sekali pada waktu malam.
"Cabaran utama cuaca panas terik dan kalau hujan kami tak boleh jalankan kerja pula. Ditambah lagi dengan jalan sempit menyukarkan sedikit pergerakan kami.
Khairul berkata, mereka bekerja di dalam dua syif pagi dan malam dengan kekuatan lapan kakitangan daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Katanya, kutipan sisa pepejal tertinggi yang dikutip mereka adalah pada hari pertama dengan anggaran tiga tan berikutan ramai petugas dan pengamal media yang berkampung di sini.
Khairul yang telah berkhidmat selama lima tahun bersama syarikat berkenaan memberitahu, dia dan rakan-rakan sentiasa bersedia untuk berkhidmat seandainya operasi SAR terpaksa dilanjutkan.
"Kalau SAR dilanjutkan lagi sehingga dua ke tiga minggu kami semua akan terus berada di sini. Selama ini pun jika ada apa-apa acara atau bencana memang kami akan bantu.
"Setakat ini isteri dan keluarga kami pun semuanya tidak mengeluh, mereka memahami tugas kami," ujarnya.
Sementara itu, Shamsul Rizal, 40, yang merupakan salah seorang petugas pembersihan memberitahu dia bersama rakan-rakan terus komited bagi memastikan kebersihan sekitar kawasan berkenaan terjaga.
"Saya harap semua pihak tidak buang sampah merata-rata kerana kami sememangnya telah sediakan tong sampah untuk memastikan kebersihan kawasan ini terjamin.
"Jangan buang sampah di dalam longkang kerana boleh menyebabkan tersumbat dan meningkatkan risiko banjir di kawasan ini. Tempat ini kawasan rekreasi jadi kita kena pastikan kebersihan terjaga," jelasnya.