Wanita Rohingya ditetak rakan suami

Iklan
Abdul Rahim Md Din

KUALA TERENGGANU- Seorang wanita warga Rohingya cedera ditetak rakan suaminya dengan pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Kampung Belukar, di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, mangsa, 27, yang ketika itu berada di rumahnya didatangi dua lelaki yang juga rakan kepada suaminya dengan menunggang sebuah motosikal.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, salah seorang daripada mereka menghampiri mangsa sebelum memberitahu hendak berjumpa dengan suaminya kerana ingin membayar duit motosikal yang dibeli dengan harga RM800.

"Tanpa sebarang syak, mangsa memaklumkan suaminya pergi sembahyang Jumaat dan meminta suspek datang semula pada hari lain.

Iklan

"Suspek bersetuju dengan permintaan itu dan sebelum beredar, dia meminta segelas air masak sebelum mangsa masuk ke dalam rumah mengambil air tersebut," katanya.

Jelas sumber, semasa mangsa hendak menyerahkan air tersebut, suspek yang ketika itu sedang berdiri di hadapan rumah terus bertindak menetak kepala wanita itu.

Iklan

"Tanpa diketahui punca, suspek bertindak menetak kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan pisau pemotong sayur milik suaminya yang ditinggalkan di atas beranda rumah.

"Melihat keadaan mangsa yang ketika itu menahan kesakitan, kedua-dua suspek melarikan diri dengan meninggalkan senjata tersebut," katanya.

Kata sumber, akibat kejadian, mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini dan menerima lapan jahitan di kepalanya.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.