DUNGUN - Seramai 90 pelajar tahfiz dan enam guru Madrasah Darul Bayan Pondok Pinang Merah berdepan detik cemas apabila madrasah mereka yang terletak berhampiran Sungai Paka, di sini dinaiki air secara mendadak dalam kejadian pada 20 Disember lepas.
Mudir madrasah Zulkifli Ilyas, 38, berkata ketika kejadian kesemua pelajar yang terdiri daripada 50 pelajar lelaki dan 40 pelajar perempuan yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun serta guru mereka, baru selesai solat Subuh di Masjid Kampung (Kg) Pinang Merah dan mendapati air dari Sungai Paka melimpah dan naik mendadak.
"Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan pelajar terpaksa mengharung air di paras lutut untuk kembali ke madrasah yang terletak bersebelahan masjid bagi menyelamatkan barangan mereka dan rakan-rakan yang lain.
"Pada masa yang sama, pelajar yang lebih dewasa turut tolong mengawasi adik-adik pelajar yang lebih muda dan usaha pemindahan pelajar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kg Nyior, terus dilakukan secara berperingkat menggunakan bot madrasah,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS berkenaan.
Katanya sehingga pukul 8 pagi, paras air terus meningkat sehingga sedalam 1.22 meter dengan arus deras sehingga beberapa batang pokok yang terletak berhampiran dengan madrasah itu tumbang dan mengenai kotak fius elektrik.
Keadaan itu menyebabkan Zulkifli terpaksa melarang pelajar kembali ke madrasah untuk mengelakkan kemungkinan mereka terkena renjatan arus elektrik.
Beliau turut menyifatkan banjir pada tahun ini terburuk berbanding banjir besar pada 2004 dan 2014 yang melanda kawasan itu.
"Banjir sebelum ini naik ke paras pinggang, tetapi pada tahun ini meningkat ke paras dada... Alhamdulilah, tiada apa-apa kemalangan menimpa kami. Kenderaan guru-guru juga dapat diselamatkan, cuma ada sebahagian perabot sekolah tidak sempat untuk selamatkan,” katanya.
Selain itu, Zulkifli berkata banjir kali ini menyebabkan pihak madrasah mengalami kerugian ini lebih bernilai RM30,000 melibatkan kerosakan pada enam rumah guru dan 34 pondok pelajar.
Sementara itu salah seorang pelajar, Hafiz Akmal Shaari, 18, berkata ketika kejadian, dia bersama seorang lagi rakannya hanya mampu bertawakal kepada ALLAH dengan berharap semuanya selamat semasa membantu memindahkan rakan-rakan pelajar aliran rendah ke PPS.
"Ketika itu kami berdua terpaksa memberanikan diri untuk mengayuh bot mengharungi arus deras dengan berulang alik beberapa kali bagi menghantar adik-adik pelajar yang lain ke pusat pemindahan yang terletak kira-kira enam kilometer dari madrasah.
"Alhamdulillah semua selamat dan ia menjadi pengalaman yang tidak dapat akan saya lupakan selamanya,” katanya yang masih ditempatkan di PPS bersama rakan pelajar lain. - Bernama