SHAH ALAM - Jumlah kerugian kemusnahan harta benda dan kemudahan awam akibat banjir di negara ini dari tahun 2017 hingga 2021 mencecah RM7.4 bilion.
Berdasarkan pecahan rekod oleh Jabatan Pengairan Saliran Malaysia (JPS) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2017, kerugian dicatatkan adalah sebanyak RM63 juta diikuti RM44.2 juta (2018); RM26.5 juta (2019); RM1.15 bilion (2020) dan RM6.1 bilion (2021).
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata, jumlah kerugian itu dijangka meningkat setiap tahun.
"Saya menjangkakan jumlah kerugian akan terus meningkat setiap tahun kerana beberapa faktor iaitu peningkatan populasi rakyat yang akan menyebabkan lebih banyak bangunan dibina berdekatan sungai dan lereng bukit serta penerokaan kawasan yang berhutan dan berbukit.
"Ini menyebabkan tanah mendapan sungai yang semakin menebal mengakibatkan sungai menjadi cetek dan mudah melimpah melepasi paras tebing,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata, penerokaan hutan simpan secara haram yang masih berlaku turut menyumbang kepada faktor bencana tersebut.
"Ini ditambah dengan sistem saliran dan perparitan di negara ini yang masih tidak mampu menampung limpahan air yang luar biasa.
"Kena ada kajian menyeluruh mengenai sistem perparitan ini, kalau kawasan perumahan baharu mesti ada kolam tadahan dan kawasan yang boleh menjadi penampan air bagi mengelak banjir berlaku,” katanya.
Tambah beliau, untuk mengatasi kerugian ini, kerajaan Persekutuan harus bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.