‘Bukan mudah layak ke Piala Dunia’

Iklan
Sathianathan - Foto Agensi

PENGEMBARAAN Malaysia ke pentas kejohanan bola sepak berprestij - Piala Dunia perlu mengambil masa lama dan tidak mudah, namun ia bukan sesuatu yang mustahil.

Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan berkata, perjalanan itu perlu dilakukan dengan perancangan rapi dan penglibatan semua pihak, tidak hanya bergantung kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata.

Iklan
Iklan

"Untuk skuad kebangsaan melayakkan diri ke Piala Dunia, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi tidak mustahil. Semuanya memerlukan proses yang panjang.

"Pemegang taruh yang lain seperti kelab, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan dan ibu bapa turut memainkan peranan penting,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Iklan

Beliau menjelaskan, proses itu perlu bermula di peringkat sekolah dengan menjadikan bola sepak sebagai satu budaya seperti mana diamalkan di Jepun dan Korea Selatan.

"Bola sepak bukan permainan bermusim. Penggal pertama main bola sepak, penggal kedua olahraga. Bukan begitu, bola sepak perlu main tiap-tiap hari,” ujarnya.

Iklan

Menurut Sathianathan, skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara dilihat sebagai prospek serta memiliki pemain yang berbakat dan mereka perlu didedahkan dengan saingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Skuad Harimau Malaya kini dalam tugasan bagi menghadapi Piala AFF 2022.

Malah, beliau memberitahu, para pemain yang mahu berkelana beraksi di Eropah juga perlu memiliki mental yang kuat dan fizikal tahan lasak.

"Saya pernah bawa pemain remaja ke Eropah termasuk Perancis dan Maghribi. Masalah kita ialah makanan, suasana di sana tak boleh keluar malam.

"Tetapi kita di sini berbeza, kedai mamak buka 24 jam. Jadi kalau mahu berjaya, disiplin itu kena ada termasuk dalam soal pemakanan,” kata jurulatih berusia 64 tahun itu.

Mengulas fomat Piala Dunia edisi 2026 di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico Sathianathan berkata, peluang pasukan dari Asia untuk ke kejohanan itu lebih banyak.

"Bagi peringkat Asia Tenggara berdasarkan prestasi semasa, saya melihat Vietnam berpeluang cerah untuk layak (ke Piala Dunia),” jelasnya.

Berdasarkan format baharu itu, pasukan dari Asia akan dapat pertambahan hampir sekali ganda kepada lapan pasukan (daripada 4.5 slot).