TEMERLOH -"Setiap kali banjir, saya risau memikirkannya kerana terpaksa menyusahkan ibu bapa yang perlu mengangkut saya menggunakan bot untuk berpindah," kata Yazid Zulkepli, 12 yang mengalami cacat kaki kanan sejak lahir.
Anak sulung daripada dua beradik itu adalah antara penduduk Kampung Batu Kapor di sini yang terkesan akibat banjir hampir saban tahun.
Remaja itu bergantung kepada alat bantuan kaki untuk bergerak dan jika terkena air, alat itu mudah rosak.
"Syukur banjir baru-baru ini, ada orang yang meminjamkan bot kepada keluarga saya dan tidak perlu lagi menunggu orang datang tolong.
"Saya masih ingat lagi, ibu menangis depan rumah minta orang tolong pindahkan saya pada banjir besar tahun lepas.
"Saya harap sangat masalah banjir ini cepat diatasi selain tak nak susahkan keluarga," kata Yazid yang bercita-cita menjadi pensyarah.
Ibunya, Elva Susanti Muktaridi, 46, berkata, detik dia menangis di depan rumah ketika banjir besar tahun lalu masih melekat di fikiran kerana ketika itu dia sangat risaukan keadaan anaknya.
"Kebetulan ada orang datang dengan bot dan menolong kami," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai.
Selain tinggal sehelai sepinggang akibat banjir tersebut, keluarga itu seperti penduduk lain di kampung tersebut telah bersiap sedia menyimpan barangan sedia ada ke tempat selamat pada tahun ini.
Tambah Elva, kini dia juga risau kerana alat bantuan kaki Yazid mudah rosak dan kurang sesuai kerana saiz kakinya yang semakin membesar.
Jelas Elva, alat bantuan kaki yang bernilai lebih RM3,000 hasil sumbangan beberapa pihak selain menggunakan wang sendiri itu digunakan anaknya sejak berusia sembilan tahun.