Tindakan halau penduduk PPR tidak wajar, kata pemimpin UMNO Pasir Gudang

Iklan
Isu tersebut mendapat perhatian UMNO Bahagian Pasir Gudang. (Penguatkuasa melakukan proses menyita rumah tertunggak bayaran sewanya di Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.)

JOHOR BAHRU - Sebanyak 11 unit rumah di Flat Tasek 64 iaitu di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam dilapor telah diarahkan kosong untuk proses penyitaan oleh pihak berkuasa tengah hari tadi.

Perkara itu mendapat perhatian UMNO Bahagian Pasir Gudang yang mendakwa perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana rata-rata daripada penghuni yang diarahkan keluar itu adalah masyarakat Melayu dan penduduk tempatan di sana.

Iklan
Iklan

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Nor Azleen Ambros berkata, seharusnya pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) atau setiausaha kerajaan (SUK) bahagian perumahan berbincang terlebih dahulu dengan penyewa bagi mengetahui masalah mereka.

"Pihak yang berkenaan harus menggunakan budi bicara, berikan mereka tempoh untuk membayarnya dan buat dokumen aku janji. Kita lihat tindakan yang diambil seperti tidak mengikut prosedur.

Iklan

”Tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana rumah merupakan satu keperluan yang amat penting dan tambahan pula majoritinya adalah penyewa Melayu,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, UMNO Bahagian Pasir Gudang turut memaklumkan, perkara paling menyedihkan adalah kerajaan negeri lebih sanggup mengambil langkah penyitaan berbanding penyelesaian kepada penghuni untuk menanggung beban tunggakan tersebut.

Iklan

"Belum pernah dalam sejarah kerajaan terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyita rumah penduduk.

"Malah, lebih banyak saluran yang digunakan untuk membantu dan memudahkan urusan rakyat,” katanya.