KOTA KINABALU - Dua individu berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terjunam dari tingkat tiga ke tingkat dua tempat letak kenderaan di pusat beli belah kompleks Asia City di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Chong Soon Chean, 24, dan rakannya, Juliana Abd Wari, 30, mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.56 pagi.
Menurutnya, seramai 13 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh empat kilometer dari BBP Kota Kinabalu.
"Terdapat dua mangsa masing-masing lelaki dan wanita terlibat dalam kejadian itu mengalami kecederaan ringan dan telah keluar sendiri dari kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan berkenaan.
"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
"Pasukan bomba juga memasang sawar-sawar di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.59 pagi," katanya.