MELAKA - Penduduk kampung yang ingin menunaikan solat Subuh di Masjid Asy Syakirin, Pasir Puteh di Bachang di sini dikejutkan dengan penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat bayi berkenaan ditemui pada jam 6.30 pagi oleh salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid dalam keadaan berbalut dengan kain dan terdapat kesan darah pada hidung.
Iklan
Iklan
Menurutnya, jemaah terbabit kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut dengan menghubungi Balai Polis Malim pada jam 6.45 pagi.
"Berdasarkan nota yang ditulis atas kertas putih, bayi malang itu dipercayai dilahirkan pada Sabtu lalu.
"Bagaimanapun, bayi itu dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh dua jam sebelum ia ditemukan berdasarkan kepada keadaan mayat yang masih baru dan belum mengeras,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Afzanizar, selain pendarahan pada hidung, terdapat kesan lebam kehitaman di muka dan bahagian badan bayi itu.
Tambah beliau, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian dan ibu bayi berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.