'Bunyi dentuman kuat rupanya anak saya jatuh...'

Iklan
Jenazah Khorilsyahrulnizam,15 dikebumikan di Tanah perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara hari ini. Turut kelihatan, bapa arwah, Che Norizam (kopiah kuning)

PETALING JAYA -"Tak sangka bunyi dentuman kuat yang saya dengar masa naik tangga di tingkat lima, rupanya-rupanya bunyi anak saya jatuh," kata Seri Sunarti Sukaji, 47, ibu kepada Khorilsyahrulnizam Che Norizam, 15 yang maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh r​umah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, di sini, semalam.

Seri Sunarti berkata, ketika itu dia baru sahaja pulang dari mengambil anak bongsunya, Siti Norsyafikah,7 dari sekolah berdekatan.

Iklan
Iklan

"Lif di sini satu saja dan lambat sebab tu saya naik tangga, lebih cepat. Tapi bila sampai di tingkat lima, saya terkejut dengar bunyi dentuman yang sangat kuat.

"Saya tengok ke bawah, nampak ada orang jatuh dan terlintas di kepala 'macam seluar Angah'...Masa tu hanya ALLAH saja yang tahu. Saya terus berlari naik ke rumah nak pastikan sama ada anak lelaki saya yang demam ada dalam rumah atau tidak," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Iklan

Katanya, apabila sampai depan rumah, dia terus masuk dan bertanyakan suami, Che Norizam Epon, 48, tentang anak kedua mereka yang dipanggil [[Angah.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja 15 tahun maut jatuh tingkat 7

Iklan

"Suami yang baru lepas mandi beritahu Angah ada di rumah. Saya terus periksa dalam bilik tapi hanya ada selimut. Terus saya ajak suami turun ke tingkat bawah nak pastikan apa yang saya tengok tadi memang betul Angah atau orang lain.

"Bila sampai bawah, terus luluh hati saya tengok keadaan Angah yang berlumuran darah," katanya.

Seri Sunarti

Menurut Seri Sunarti, anak keduanya itu sudah demam sejak beberapa hari lalu.

Suri rumah itu juga berkata, dia sudah merancang untuk membawa anak mereka ke hospital selepas suami pulang dari kerja semalam tetapi tidak sempat.

Menurutnya, beberapa hari sebelum ini, Angah menolak untuk dibawa ke klinik kerana mengadu tidak larat untuk berjalan tetapi semalam dia bersetuju untuk dibawa ke hospital.

"Memang terkilan tak dapat bawa dia ke hospital dapatkan rawatan....sebelum saya keluar rumah ambil adiknya, dia minta saya buatkan air Milo.

"Saya terus bancuh dan sempat tengok dia minum sebelum keluar. Saya dah pesan minta dia baring di ruang tamu sementara tunggu ayahnya mandi dan kemudian bawa dia ke hospital. Tapi tak sangka ini pula yang berlaku," katanya yang turut menyifatkan Angah sebagai anak pendiam tetapi mudah mesra.

Jiran mangsa, Siti menunjukkan lokasi mangsa terjatuh.

Ketika ditanya sama ada Angah mempunyai masalah tertentu, Seri Sunarti berkata, setakat ini, anaknya itu tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa dan tidak menunjukkan apa-apa tanda yang aneh.

"Saya sendiri pun masih tertanya-tanya macam mana Angah boleh jatuh. Nak lalu atau tengok tempat dia jatuh pun saya rasa takut dan sedih, masih terbayang-bayang keadaan dia," katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara selepas solat Zohor hari ini.

Sementara itu, jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 30-an berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman kuat itu adalah sampah yang mungkin dibuang dari tingkat atas.

Namun katanya, setelah pergi melihat lebih dekat mendapati mangsa sudah terbaring berlumuran darah.

Muhd Amin menunjukkan tempat arwah sahabatnya ditemui selepas terjatuh dari tingkat tujuh bangunan itu, semalam

"Kepala dia dah terkulai dan akak pangku dia. Masa tu dia masih sedar lagi. Adik akak serta seorang lagi anak jiran kami kemudiannya terus bawa dia ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Seorang lagi jiran mangsa, Muhd Amin Abdullah,17, memberitahu, sebelum kejadian dia bersama abang sulung mangsa berusia 16 tahun sedang berehat di kawasan gelanggang tidak jauh dari lokasi kejadian selepas bermain futsal, semalam.

"Memang dengar bunyi dentuman tapi ingatkan anak kucing jatuh...lepas tu penduduk riuh kata orang jatuh, terus saya dan abang mangsa pergi tengok.

"Bila tengok, abang mangsa kata itu adik dia.....Saya dan seorang lagi jiran terus bawa mangsa ke hospital sebab dia masih sedar ketika itu," katanya memberitahu sering bermain futsal bersama mangsa sebelum ini.

Namun katanya, setelah tiba di Hospital Sungai Buloh, doktor kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Difahamkan, kes yang sama pernah berlaku sebelum ini melibatkan dua mangsa masing-masing terjatuh dari tingkat 12 dan 14 bangunan sama.