[VIDEO] Papan ACP, gam silikon selamatkan rumah dari banjir

Iklan
Keadaan air di hadapan rumah Zuhri yang masih bergenang ketika ditemui Sinar Harian.

KUALA NERUS - Idea kreatif yang timbul saat akhir sebelum rumah dinaiki air berhasil menyelamatkan rumah seorang peniaga di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, di sini daripada dimasuki air.

Zuhri Taib, 28, berkata, dia menggunakan papan aluminium composite panel (ACP) lebihan atap tambahan (awning) rumahnya yang dilekatkan menggunakan gam silikon akuarium untuk menutup lima pintu termasuk pintu bilik air.

Iklan
Iklan

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, idea itu datang daripada rakan-rakan setelah melihat inisiatif mangsa banjir yang menggunakan plastisin untuk menutup lubang rumah dari dimasuki air tidak berhasil.

"Saya belum pernah lihat orang buat macam ni sebelum ini dan kebetulan idea ini datang daripada rakan-rakan yang menyarankan supaya cuba guna gam silikon.

Iklan

"Waktu pasang papan ni air dah naik paras tangga rumah dan ketika itu saya rasa rumah saya sudah tidak selamat.

"Mujurlah kelima-lima pintu iaitu pintu depan, pintu tepi, pintu belakang dan dua pintu bilik air berjaya ditutup dalam tempoh satu jam lebih," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di kediamannya, baru-baru ini.

Iklan
Zuhri bersama isteri, Siti Zaida Mahmad, 29 dan tiga anaknya, Danial Aiman, 4; Dayyan Amsyar, 3 serta Davira Adeeva yang berusia setahun.

Zuhri berkata, anggaran tinggi papan yang perlu dipasang perlu bergantung kepada jangkaan paras air yang mungkin memasuki rumah.

"Kos bahan yang digunakan pun tidak begitu mahal dalam RM300 sebab papan ACP agak mahal namun bagi saya, ia berbaloi berbanding terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan harta benda.

"Ia juga tidak membazir kerana ACP tahan lama, boleh disimpan semula jika tidak digunakan dan boleh pasang semula," kata pemilik kedai sate, Kak Yah Satay Chalok 2 itu.

Dalam pada itu, Zuhri turut menyarankan kepada mangsa banjir yang rumahnya bersesuai dan turut dinaiki air untuk menggunakan kaedah sama.

Zuhri menunjukkan kaedah pemasangan papan ACP yang dilekatkan menggunakan gam silikon yang berhasil menyelamatkan rumahnya dari dimasuki air ketika banjir melanda kawasan itu pada 20 Disember lalu.

"Saya bersyukur dan berpuas hati kerana rumah tidak dimasuki air walaupun air bergenang melepasi paras pintu rumah.

"Saya sarankan kepada yang rumahnya bersesuaian, boleh cuba untuk sediakan peralatan ini dan pasang sebelum rumah dinaiki air," beritahunya.

Menurut Zuhri, dalam bencana banjir pada 20 Disember lalu, laluan ke rumahnya dinaiki air setinggi satu meter manakala air memasuki depan pintu rumah setinggi 0.6 meter.

"Penduduk di perumahan Taman Desa Tanjung Damai (fasa ke-4) kali pertama berdepan bencana banjir kerana kawasan ini ditambun lebih tinggi.

"Saya pun baru setahun duduk di sini dan ini adalah kali pertama berlaku banjir dan kawasan rumah dinaiki air. Sebenarnya saya tak jangka air akan masuk ke dalam rumah," ujarnya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!