ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM30 juta untuk meringankan beban keluarga miskin di Kedah dikenali sebagai Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).
Exco Wanita, Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan, Halimaton Saadiah Saad berkata, keluarga terlibat akan menerima RM250 sebulan untuk pembelian barang keperluan asas dan RM500 setahun untuk rawatan kesihatan sekeluarga.
Menurutnya, bantuan kewangan untuk pembelian keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dilancarkan pada 20 Mei depan.
"KIDA dilaksanakan demi mengurangkan kos hidup melalui bantuan kewangan untuk pembelian keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan kepada penerima berkelayakan.
"Bantuan KIDA akan dibuat melalui sistem kad pintar tanpa tunai untuk digunakan di kedai runcit dan klinik swasta dilantik," katanya.
Halimaton Saadiah membuat pengumuman jumlah bantuan KIDA kepada penduduk miskin dan miskin tegas pada Sidang DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan dilaksanakan dalam usaha meningkatkan daya beli dan taraf hidup, sekaligus membasmi kemiskinan.
Halimaton Shaadiah berkata, sebanyak 15 barangan keperluan asas yang diluluskan untuk pembelian melalui KIDA, iaitu tepung, minyak masak, gula, garam, roti, biskut dan telur.
Katanya, antara lain termasuklah beras, mi, bihun, rempah ratus, sos, kicap, sayur-sayuran, buah-buahan, sabun, kelengkapan mandian, bahan pencuci dan lampin pakai buang.
Katanya, seramai 5,059 penerima berada dalam Sistem e-Kasih sehingga 31 Mac akan menerima manfaat KIDA dengan daerah Sik merupakan penerima tertinggi seramai 1, 259 orang, diikuti Kota Setar (811) dan Baling (653).
Menurutnya, antara syarat ialah, warganegara Malaysia, penduduk tetap lima tahun ke atas, pengundi Kedah, ibu tunggal atau berkahwin yang memiliki anak berusia 21 tahun ke bawah yang masih ditanggung.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk Tabung Khas Wanita, malah menerima peruntukan tambahan RM1 juta demi memastikan pemohon berkelayakan menerima bantuan itu.
Halimaton Saadiah berkata sedemikian ketika menjawab soalan Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada) berhubung peruntukan tambahan Tabung Khas Wanita.