PONTIAN - Tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini, sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO bakal dipertandingkan atau tidak, pada pemilihan akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang ketetapan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung perkara itu, ketika ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung iaitu pada malam 12 Januari nanti.
"Itu (sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan) kita tunggu. Tidak ada sebarang keputusan mengenainya setakat hari ini.
"Namun saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, kerana kita masih ada masa sebelum PAU diadakan Januari nanti.
"Kita tunggulah. Januari nanti MKT UMNO ada mesyuarat bulanan seperti biasa dan satu lagi kita ada Mesyuarat Khas MKT yang secara tradisinya akan diadakan pada malam sebelum PAU diadakan.
"Mesyuarat Khas MKT kali ini akan diadakan pada malam 12 Januari sebelum PAU diadakan keesokannya. Malam itu mungkin akan diputuskan mengenai perkara itu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Api-Api, di sini, pada Isnin.
Pada Ahad, Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata UMNO akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan.
Muhamad Muqharabbin dilaporkan berkata, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.
Pada 9 Disember lalu, UMNO menafikan terdapat perbincangan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 7 Disember juga tidak menyentuh perkara itu.
UMNO akan pinda dua perlembagaan parti
PONTIAN - UMNO akan membuat pindaan Perlembagaan membabitkan pengangguran keahlian serta pertambahan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Januari depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata notis berhubung PAU khas itu telah diedarkan kepada ketua-ketua bahagian, setiausaha bahagian, setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri menerusi notis bertarikh 13 Disember lalu.
Katanya, pindaan dua fasal perlembagaan parti itu akan dibentangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Selain itu, pindaan pada Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli parti yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan, sama ada pada pilihan raya negeri atau Parlimen, akan tergugur keahlian secara automatik.
"Pindaan fasal berkenaan disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat di Taman Sri Api- api di sini, pada Isnin.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata pindaan Fasal 8.4 dibuat bagi membolehkan ketua penerangan menjadi perwakilan agar dapat membawa mesej yang disampaikan pimpinan-pimpinan parti utama kepada bahagian dan peringkat sayap.
"Sebelum ini, hanya tujuh individu dari setiap bahagian parti yang secara automatik menjadi perwakilan pada PAU iaitu Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri selain Setiausaha Bahagian.
"Namun dengan pindaan Perlembagaan ini nanti, seramai lapan individu termasuk Ketua Penerangan bahagian dan sayap dari setiap bahagian layak secara automatik ke PAU berbanding perlu diundi sebelum ini," katanya.
Berhubung usul yang akan dibawakan pada PAU kali ini, Ahmad berkata, empat usul setakat ini sudah diluluskan Jawatankuasa Usul PAU yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Mahdzir Khalid.
"Empat usul yang akan dibahaskan nanti adalah solidariti UMNO, kos sara hidup dan ekonomi, tingkatkan tahap pendidikan rakyat da dan mendaulatkan agama Islam," katanya.
PAU 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, telah ditangguhkan kepada 11 Januari sehingga 14 Januari.