TUMPAT - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menegaskan Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa hujan lebat serta banjir di Pantai Timur tidak menjejaskan bekalan ikan negara di pasaran.
Ketua Pengarahnya, Yusoff Othman berkata, walaupun seramai 1,250 nelayan di Kelantan, Terengganu dan Pahang dilaporkan terjejas dengan bencana tersebut namun mereka di Pantai Barat masih turun ke laut.
"Kita akui ada sedikit penurunan dari segi pendaratan ikan namun ia masih tidak menjejaskan bekalan.
"Malah jika ia berlaku (pengurangan bekalan) kita masih ada stok ikan sejuk beku yang cukup," katanya semasa sidang akhbar semasa merasmikan Program Jiwa Murni di Kompleks LKIM Geting, di sini pada Isnin.
Pada program tersebut seramai 36 ketua isi rumah (KIR) nelayan Tumpat yang terkesan dengan banjir menerima sumbangan berbentuk bantuan wang ringgit dan kit makanan.
Menurut beliau, walaupun sekarang ini beberapa kawasan dilanda MTL namun masih ada nelayan yang boleh turun ke laut.
Dalam perkembangan lain, Yusoff menyeru semua nelayan di negara ini agar menyertai Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi memastikan kebajikan mereka terbela selain dapat menikmati kemudahan serta manfaat yang disediakan.
"Setakat ini hanya 90,000 daripada 130,000 nelayan yang berdaftar dengan persatuan.
"Saya berharap jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa bagi memastikan nasib nelayan sentiasa dibela," katanya.
Ujar beliau, antara manfaat yang akan diperolehi ialah elaun sara hidup, subsidi diesel, baiki rumah, pinjaman tanpa faedah dan banyak lagi.