SEREMBAN - Padah melanggar lampu isyarat merah, sebuah kereta dirempuh sebelum terbakar di simpang empat lampu isyarat,Jalan Sungai Ujong berhadapan bangunan Palm Mall di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada jam 10.45 malam itu membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Axia dan BMW 320i.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Axia dari arah Petron Sungai Ujong menuju ke arah Time Hotel, Seremban dipandu lelaki berusia 45 tahun seorang diri.
"Sebaik tiba di lokasi telah bertindak mengabaikan lampu isyarat berwarna merah dari arahnya lalu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang.
"Kemudian datang sebuah kereta jenis BMW 320i dipandu lelaki berusia 40 tahun juga seorang diri dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta Perodua Axia itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, pelanggaran tersebut telah menyebabkan kereta Perodua Axia itu berpusing lalu terbabas menaiki tembok tengah pembahagi jalan dan melanggar sebatang tiang lampu isyarat.
"Impak pelanggaran tersebut juga telah menyebabkannya terbakar keseluruhan. Bagaimana pun, tiada kecederaan dialami oleh kedua-dua mangsa.
"Manakala kenderaan terbakar telah berjaya dipadamkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang datang di lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Rule 17 LN 167/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.