JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan segelintir pihak berhubung tindakan penyitaan 11 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, di sini dilaksanakan dengan tidak ‘berhati perut’.
Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, penyitaan kembali kesemua unit rumah itu dilakukan dengan mematuhi prosedur yang lengkap.
Menurutnya, keengganan penduduk di sana bertemu dengan Setiusaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) berkenaan situasi dihadapi mereka juga menjadi punca insiden itu akhirnya berlaku.
"Kerajaan negeri terpaksa melakukan perkara ini, bukan bermaksud mahu menindas sesiapa, tetapi penduduk ini enggan memberikan kerjasama dengan bertemu kerajaan mengenai isu tunggakan bayaran sewa.
"Sedia maklum, kerajaan negeri telah menetapkan bayaran serendah RM124 sebulan manakala rumah sewa Johor pula RM100 sebulan. Masalahnya sekarang, penyewa ini ada yang sampai RM6,000 tunggakan.
"Sebelum kita buat tindakan, petugas kita juga telah mengeluarkan notis, beberapa kali notis diberi, tetapi mereka ini ambil keputusan hanya berdiam diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.
Mengenai notis itu, Dzulkefly memberitahu petugas SUK Bahagian Perumahan telah mengeluarkan beberapa notis yang mana mengikut prosedur ditetapkan.
"Yang utama, kita keluarkan notis peringatan, notis peringatan terakhir, notis menyita premis dan notis pembatalan perjanjian.
"Notis ini dikeluarkan sepanjang tempoh sewaan yang mana notis peringatan adalah selepas tiga bulan tunggakan, diikuti notis seterusnya 14 hari selepas itu. Tetapi sepanjang tempoh ini tiada yang menjawab dan hanya mengambil keputusan berdiam diri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri tetap sedia mempertimbangkan sebarang rayuan daripada penduduk berkenaan yang mana melibatkan pengurangan bayaran tunggakan sewa atau sebagainya.
"Sebenarnya kita mengharapkan penduduk ini bertemu dengan kita sebelum kejadian ini berlaku, tetapi masa itu mereka tidak mahu respon, kerajaan bukan kejam, kita boleh pertimbangkan.
"Sama ada nak beri pengurangan bayaran atau sebagainya, tetapi sekarang kita kena ikut prosedur dahulu,” katanya.
Terdahulu, isu ini mendapat perhatian UMNO Pasir Gudang yang menyifatkan tindakan diambil kerajaan itu tidak wajar kerana rata-rata penghuni PPR itu adalah masyarakat Melayu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan halau penduduk PPR tidak wajar, kata pemimpin UMNO Pasir Gudang