SHAH ALAM - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali yang berakhir pada Ahad meninggalkan kesan mendalam kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pegawai Skuad Elit APM, Leftenan (PA) Ab Azizul Hakim Ab Rahim berkata, selain faktor fizikal, emosi anggota APM terlibat juga terkesan sepanjang operasi SAR dijalankan kerana membabitkan banyak korban nyawa.
"Tidak dapat dinafikan emosi anggota pasukan kadangkala terjejas terutamanya apabila mereka baru pertama kali terlibat dalam operasi SAR membabitkan banyak angka korban seperti ini.
"Saya bertugas selama 15 tahun dan ini merupakan tugasan pertama melibatkan banyak kematian dan pengalaman ini pasti sukar dilupakan apabila kanak-kanak turut terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
"Cabaran utama ialah berdepan keadaan lumpur yang dalam dan keadaan ini menyukarkan pergerakan anggota sepanjang tujuh hari saya dan rakan-rakan setugas terlibat dalam operasi berkenaan," katanya.
Meskipun dengan penemuan mayat empat sekeluarga pada hari ketujuh pencarian, operasi SAR terus berdepan kesukaran untuk mencari hanya seorang lagi mangsa dalam kawasan seluas kira-kira 6.07 hektar.
"Akhirnya sekitar 4.50 petang pada Sabtu, anggota penyelamat berjaya menemukan mayat terakhir. Suasana cukup menyedihkan kerana mangsa terakhir mengingatkan saya dengan anak-anak di rumah," kata bapa dua anak itu.
Mangsa terakhir yang ditemui adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani secara rasmi menamatkan operasi SAR mangsa tragedi tanah runtuh pada Ahad setelah pihaknya mengesahkan tiada lagi mangsa terlibat atau hilang dalam kejadian.
Pada 16 Disember, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 terkorban membabitkan 18 dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk bayi berumur setahun.