Tetap turun bantu walau rumah sendiri ditenggelami air

Iklan
Pasukan Amal ketika membantu membersihkan tempat yang terjejas banjir. - Foto Jabatan Amal

KUALA TERENGGANU – Hampir 3,000 ahli Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu (JAMNT) bersama sukarelawan amal terlibat dalam misi bantuan pasca banjir di negeri ini dengan tumpuan membantu penduduk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur.

Pengarah JAMNT, Mohd Hasmizie Hasan berkata, misi tersebut digerakkan selepas banjir mulai surut dengan harapan dapat membantu meringankan beban mangsa bencana terutama golongan warga emas dan kurang upaya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain rumah penduduk yang terjejas, pasukan itu turut menghulurkan tenaga membersihkan fasiliti awam seperti masjid, sekolah, surau, tadika dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan lain.

Mohd Hasmizie membantu membawa air untuk membersihkan rumah penduduk terjejas banjir. - Foto Jabatan Amal

"Pasukan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan melibatkan lokasi-lokasi tertentu terutama di kawasan terjejas teruk. Contohnya sekarang sudah dua hari kita berkampung di Kuala Nerus selepas banjir mula surut di sini.

Iklan

"Sebenarnya, JAMNT sudah menggerakkan misi sejak hari pertama negeri ini dilanda banjir iaitu membantu pasukan penyelamat memindahkan penduduk terjejas ke tempat selamat menggunakan enam bot milik jabatan dan bot persendirian.

Mohd Hasmizie berkata, bantuan pasca banjir merupakan misi kedua dilaksanakan pasukan tersebut dan pihaknya bercadang mengadakan misi ketiga pula iaitu program dapur rakyat apabila kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya.

Iklan

Selain itu katanya, JAMNT turut berbesar hati dengan bantuan dari lebih 300 ahli Jabatan Amal negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Khidmat Malaysia yang datang membantu penduduk terjejas banjir di negeri ini.

Misi pasca banjir Jabatan Amal memberi tumpuan membersihkan rumah dan fasiliti awam yang dipenuhi lumpur selepas ditenggelami banjir. - Foto Jabatan Amal

"Kami di jabatan amal sudah melakukan persediaan menghadapi banjir sejak Oktober lagi dengan menyertai taklimat bencana di lapan daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

"Alhamdulillah, kami dapat memberi khidmat kepada penduduk setempat dan tidak panik berdepan banjir terutama di Besut yang merupakan kawasan paling teruk terjejas,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!