TUMPAT - Tiada apa yang diharap oleh Zauyah Deraman, 36, melainkan tindakan sewajarnya daripada kerajaan untuk segera mengatasi masalah banjir yang saban tahun melanda negeri di Pantai Timur terutamanya Kelantan.
Dia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak sanggup lagi melihat rumah dan barangan peribadinya rosak sehingga perlu dibuang setiap kali banjir melanda.
Zauyah yang tinggal berdua bersama ibunya, Fatimah Yusof, 74, berkata, banjir kali ini adalah paling teruk pernah dialami apabila paras air di dalam rumah mencecah hingga 0.7 meter.
Menurutnya, air mula melimpah masuk ke pekarangan rumahnya pada petang Isnin lepas (19 Disember) dan naik mendadak menjelang malam menyebabkan dia segera meminta bantuan daripada rakannya untuk mengalihkan perabot ke tempat yang dirasakan selamat.
"Kami ingat sudah letak di tempat selamat, rupa-rupanya banjir kali ini lebih tinggi daripada yang berlaku bulan Mac lepas,” ujarnya.
Situasi tersebut memaksa dia dan ibunya berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat selama enam hari dan hanya pulang ke rumah dua hari lepas.
"Terkejut juga lihat keadaan dalam rumah yang agak huru-hara dengan perabot masih ditenggelami air. Selain itu, dinding rumah turut rosak dan lantai pula reput akibat terlalu lama terendam dalam air, tambah menyedihkan apabila melihat mesin basuh serta peti ais juga rosak,” katanya.
Menurut Zauyah dengan keadaan dirinya yang cacat kedua-dua tangan dan kaki serta ibu yang uzur, memang mustahil untuk mereka mencuci pakaian dengan tangan.
Sehubungan itu, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi menyumbang mesin basuh baharu kepadanya.
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang prihatin tampil membantu membersihkan rumahnya pada Ahad.
"Jika tiada yang membantu bersihkan rumah memang kami terpaksa tidur dalam selut,” katanya sambil menjelaskan adik-beradiknya yang lain tinggal di luar Kelantan dan ada yang turut terjejas banjir. - Bernama