Menteri perlu bijak beri kenyataan

Iklan
Sidang akhbar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini mendapat komen ramai di media sosial. - Foto Bernama

SIDANG akhbar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini mendapat komen ramai di media sosial.

Disiarkan menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, sidang akhbar berkenaan diadakan selepas Ahli Parlimen Rembau itu melawat mangsa banjir di Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

Ramai yang memberikan komen positif kepada Mohamad kerana penjelasan yang diberikan beliau berhubung kerja-kerja bantuan mangsa-mangsa banjir terutama melibatkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) begitu jelas, tidak teragak-agak dan boleh diterima.

Setiap persoalan yang diajukan pemberita dijawab tersusun seolah-olah jawapannya berada di hujung jari. Banyak perkara yang orang ramai tidak tahu, misalnya tindakan RAMD sepenuhnya mengeluarkan aset-aset dari negeri lain untuk membantu mangsa banjir, diceritakan dalam sidang akhbar itu.

Iklan

Sebenarnya, tidak semua menteri mempunyai kebolehan dalam memberi kenyataan kepada orang ramai. Adakala kementerian melakukan kerja dengan baik serta bersungguh-sungguh, tetapi menerima kecaman disebabkan kegagalan menteri yang mengetuai kementerian itu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Ada pula yang dijadikan sebagai modal pihak tertentu untuk ‘membahan’.Perkara ini dialami sebahagian menteri kerajaan-kerajaan terdahulu. Ada menteri yang kuat bekerja tetapi disebabkan tidak pandai berkomunikasi dengan baik, beliau dilihat tidak ‘perform’. Selalunya melibatkan kementerian berkaitan kepenggunaan.

Iklan

Ada juga menteri pandai berkomunikasi, tetapi terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan yang membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu memanipulasi. Silap cakap, ia akan memberi imej negatif kepada keseluruhan kerajaan. Untuk menutup balik kesilapan itu, biasanya media dipersalahkan kononnya salah lapor.

Cara paling selamat ialah dengan mengeluarkan kenyataan secara bertulis atau press release. Tetapi kelemahannya, apa yang hendak diperkatakan menjadi terhad dan kemungkinan tidak sampai disebabkan tidak ada komunikasi dua hala.

Dan baru-baru ini, isu kepenggunaan menjadi perdebatan di media sosial. Walaupun ada menteri yang tampil memberi penjelasan berhubung kenaikan kos harga barangan, namun ia bertukar menjadi bahan kecaman di media sosial. Bukan kerana menteri itu tidak bagus, tetapi kenyataan dikeluarkan tidak menepati hati orang ramai.

Mungkin selepas ini barisan-barisan menteri perlu dibawa berkursus untuk diajar cara berkomunikasi dengan baik.