JIKA diberi pilihan sama ada makan di restoran atau di rumah, sudah tentu Merak Jalanan memilih di rumah. Sebab itu adakala Merak Jalanan gemar menggunakan khidmat rider penghantar makanan untuk membeli di mana-mana restoran terpilih, tetapi tetap menjamu selera di kediaman sendiri.
Walaupun terpaksa mengeluarkan kos, tapi cara ini lebih mudah dan cepat kerana tidak perlu buang masa untuk bersiap, menghidupkan enjin kereta atau motosikal dan bergerak ke restoran yang kadangkala tersangkut dalam kesesakan lalu lintas jika tersilap keluar pada waktu puncak.
Selain itu, secara tidak langsung Merak Jalanan menyokong rider penghantar makanan untuk mereka mendapatkan sumber pendapatan.
Kalau mood Merak Jalanan baik, penghantar makanan yang datang ke rumah biasanya akan menerima sedikit tip, cukuplah untuk tanggung kos minyak motosikal sepanjang hari.
Namun begitu, Merak Jalanan mahu beri sedikit nasihat kepada rider penghantar makanan ini. Beberapa kali juga Merak Jalanan terkejut ketika memandu kereta apabila rider penghantar makanan membawa motosikal secara melulu.
Pernah Merak Jalanan terpaksa menekan brek di bulatan jalan apabila motosikal penghantar makanan masuk secara tiba-tiba.
Merak Jalanan tahu bukan semua bersikap begitu dan mungkin yang berbuat demikian kerana terlalu ghairah mengejar trip atau mungkin komited mahu memastikan makanan sampai ke tangan pelanggan dengan segera.
Tapi, beringat agar tidak mengundang musibah. Merak Jalanan ada mendengar cerita rider penghantar makanan terlibat kemalangan ketika bekerja.
Dalam masa sama, Merak Jalanan nak nasihat pemandu kenderaan lain supaya bertimbang rasa dengan rider penghantar makanan. Pernah Merak Jalanan nampak depan mata motosikal mereka dihimpit kenderaan di atas jalan raya.
Ingatlah, mereka ini mencari makan dan kita pula perlukan mereka untuk mencari makanan.