KUALA LUMPUR - Cadangan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai berbilion ringgit, dijangka akan bermula pada tahun hadapan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut kini sedang menunggu kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengangkutan, yang akan diperolehi tidak lama lagi.
Satu pasukan dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah melawat Pulau Pinang kira-kira dua minggu lepas untuk melihat cadangan jajaran rel dan kesesuaian lokasi stesen LRT yang dicadangkan.
"Berdasarkan kepada cadangan dan komen mereka, pasukan kami (kerajaan negeri) akan membuat pindaan dan penambahbaikan untuk APAD bagi membolehkan mereka memberi nasihat kepada Menteri Pengangkutan.
"Dengan itu, kami (kemudiannya) akan dapat menyesuaikan penjajaran, lokasi stesen dan pakej pinjaman," katanya kepada Bernama ketika mengadakan lawatan ke Wisma Bernama hari ini.
Bermula sebagai sebuah projek yang digagaskan oleh negeri itu, PTMP dijangka akan menelan belanja sebanyak lebih kurang RM46 bilion.
Ia akan mempunyai jaringan bas serta terowong yang menghubungkan pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT dan monorel.
SRS Consortium merupakan sebuah usaha sama antara Gamuda Bhd, Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, ia akan bertindak sebagai rakan kongsi penghantaran projek untuk PTMP dan Skim Tebus Guna Selatan.
Projek-projek yang dicadangkan dalam fasa pertama PTMP merangkumi lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1), sistem LRT Bayan Lepas dan kerja-kerja yang melibatkan beberapa jalan raya utama.
Kerajaan Negeri menerima kelulusan bersyarat (membabitkan PIL1) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 10 April lepas, setelah ia mengkaji semula Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) ke atas projek.
Sementara itu, jaluran rel bagi projek LRT berkenaan akan meliputi 29.5 kilometer dan 27 stesen, bermula dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga lagi kawasan membabitkan pulau-pulau tebus guna di selatan Pulau Pinang, dengan anggaran kos sebanyak RM8 bilion.
Chow berkata projek LRT ini akan mengambil masa antara enam hingga lapan tahun untuk diselesaikan dan satu paparan awam akan dibuat selama tiga bulan untuk mengumpul maklum balas daripada orang ramai mengenainya.
"Rakan kongsi projek penghantaran akan membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan projek, mendapatkan kelulusan, memperoleh pembiayaan dan menyerahkan kerja mengikut jangka masa, kualiti dan kos.
"Tidak sepatutnya ada kelewatan atau lebihan dari segi kos, masa dan perkara lain-lain," katanya.- Bernama