Akta Pekerja: Rakyat sokong, majikan 'bimbang'

Iklan
Akta Pekerja 1955 (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari ini, menerima sokongan daripada orang ramai kerana yakin ia mampu membela hak dan menambah baik perlindungan serta kebajikan pekerja. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Nampaknya pelaksanaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari ini, menerima sokongan daripada orang ramai kerana yakin ia mampu membela hak dan menambah baik perlindungan serta kebajikan pekerja.

Rata-rata pekerja tempatan menyifatkan akta itu dapat mendorong pekerja menjadi lebih efisien dan produktif selain mengelakkan diskriminasi serta manipulasi daripada majikan.

Iklan
Iklan

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu dan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari.

Selain itu, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari, tuntutan kerja lebih masa untuk gaji RM4,000 ke bawah serta larangan diskriminasi dalam pekerjaan.

Iklan

Perkembangan itu bukanlah satu kejutan kerana sudah tentu penambahbaikan yang memihak kepada pekerja akan disambut baik.

Yang menjadi persoalan adalah bagaimana para majikan sanggup berdepan dengan ketetapan baharu itu.

Iklan

Kebimbangan di pihak majikan jelas apabila pada Isnin apabila Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dilapor menggesa Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula pelaksanaan akta tersebut.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ketika ini rata-rata majikan masih bergelut dengan masalah kewangan susulan terkesan teruk akibat Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak lebih dua tahun lalu itu.

Bagaimanapun, saranan tersebut mendapat reaksi kurang senang Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) yang mengkritik alasan MEF.

Penasihat Buruh Antarabangsanya, Callistus Antony D'Angelus dalam kenyataan berkata, akta yang bakal dilaksanakan tersebut bukan semata-mata mematuhi piawaian negara maju, bahkan memastikan pekerja diberikan martabat asas.

Pada masa sama, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut bersuara agar majikan dapat melaksanakan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) ini secara telus terutama membabitkan bayaran kerja lebih masa (OT) dan waktu rehat pekerja.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dengan pelaksanaan pindaan itu, majikan tidak boleh melakukan manipulasi terhadap pekerja.

Malah jelasnya, pengurangan waktu kerja mingguan itu memberi penanda aras baharu kepada negara untuk mengubah waktu kerja mengikut standard waktu kerja antarabangsa iaitu 40 jam seminggu.

Sehubungan itu, kerajaan diminta melakukan pemantauan supaya tiada majikan yang 'melarikan diri' atau menggelak untuk menerapkan penguatkuasaan pindaan tersebut, yang disifatkan 'merugikan' mereka.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia menafikan pihaknya menyenaraikan tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor sebagai lokasi kritikal.

Ketua Pengarahnya, Hisamudin Termidi menegaskan, skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semula jadi yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

"Merujuk cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor adalah tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan JMG,”katanya.

Berkaitan laluan yang terjejas, Kerajaan Selangor sudah menyiapkan jalan sehala di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup berikutan kejadian tanah runtuh itu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, jalan sehala itu sudah disiapkan sebagai langkah sementara bagi kemudahan 4,000 hingga 5,000 penduduk Selangor yang berulang-alik dan bekerja di Genting Highlands, Pahang.

Sementara itu, bagi pekembangan cuaca,

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara, melibatkan beberapa negeri hingga Khamis ini.

Menurut MetMalaysia, Amaran Kategori Ketiga melibatkan kejadian angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam (kmj), dengan ombak melebihi 4.5 meter, dikeluarkan di kawasan perairan Sabah Barat, Labuan, dan Sabah Timur.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi aktiviti perkapalan melibatkan kawasan perairan tenggara Reef North, Labuan, Timur Palawan dan Sulu, yang dijangka berlaku sehingga Selasa.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,”katanya.