PUTRAJAYA - Pintu kaca lobi Hospital Putrajaya pecah akibat dirempuh seorang lelaki yang melarikan diri selepas cubaannya mencuri motosikal di parkir hospital itu disedari orang awam, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki terbabit melarikan diri selepas dikejar orang awam namun berjaya diberkas polis tiga jam kemudian.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, suspek berusia 28 tahun berasal dari Machang, Kelantan ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam hospital.
"Sebelum insiden melanggar pintu kaca itu, perbuatan suspek yang mencurigakan apabila menghidupkan motosikal tanpa kunci dilihat orang awam," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Rosly berkata, satu laporan polis dibuat selepas suspek gagal dikesan.
"Polis menghantar satu pasukan ke hospital untuk mengesan suspek dan berjaya memberkasnya tiga jam kemudian.
"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan, menipu dan merompak.
"Pemilik motosikal sudah membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7 selepas kejadian itu," katanya.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 11 saat dikongsi pihak hospital menunjukkan suspek dilihat berlari ke arah lobi utama hospital sebelum melanggar pintu cermin sehingga pecah.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi berita itu di laman Twitternya semalam.