Liverpool sasar empat terbaik EPL

Iklan
Pemain Liverpool meraikan jaringan Virgil van Dijk (kiri) dalam aksi bertemu Aston Villa pada Selasa. - Foto EPA

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mahu The Reds menjadi ancaman kepada pasukan di kedudukan teratas liga selepas menewaskan Aston Villa 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Selasa.

Liverpool mengecilkan jurang kepada lima mata dimiliki Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat dengan Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Stefan Bajcetic masing-masing meledak satu gol dalam kemenangan di Villa Park itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Klopp mengakui jurang 15 mata yang memisahkan Liverpool daripada pendahulu liga Arsenal mungkin sukar diatasi dan dia tetap fokus untuk berada dalam kedudukan empat teratas liga.

"Sudah tentu, kami perlu mengejar mereka. Kami tidak berada dalam kedudukan terbaik, ada perbezaan antara kami dan pasukan lain, kami semua tahu itu.

Iklan

"Dua atau tiga pasukan teratas mungkin sudah terlalu jauh. Jika mereka menang kesemua perlawanan, kami memang sudah tiada peluang.

"Kami perlu melakukan tugas kami dan itu bermakna memenangi kesemua perlawanan. Selepas itu, kami akan lihat di mana kedudukan kami selepas berakhir liga," katanya.

Iklan

Liverpool tidak pernah gagal untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas liga sepanjang enam musim Klopp mengendalikan pasukan itu.

Klopp juga menegaskan pemain perlu bersedia dengan detik sukar dalam setiap perlawanan untuk memastikan Liverpool mampu menamatkan saingan liga kali ini dalam kedudukan yang baik.

"Sudah tentu, ia mesti menjadi sasaran untuk layak ke Liga Juara-Juara. Kami mempunyai banyak perlawanan untuk diharungi dan kami semua perlu melalui saat-saat sukar dalam perlawanan.

"Untuk hari ini, kami mendapat tiga mata dan itu cara terbaik untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan teratas.

"Semua pasukan di sana bermain musim yang luar biasa, tetapi selagi kami dapat mengejar mereka, kami akan berjuang untuk mendapatkannya," katanya.