SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak untuk memantau latar belakang ahli perniagaan yang berjaya membida potret pemimpin PH pada Majlis Makan Malam Amal PH yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.
Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pemantauan berkenaan termasuklah sama ada dalam tempoh tujuh bulan ini mereka mendapat atau melobi sebarang projek.
Menurutnya, beberapa potret pemimpin PH seperti perdana menteri (PM) dan timbalannya serta menteri dibida oleh ahli perniagaan kaya untuk sumbangan politik kepada PH.
"Apakah ini rasuah terbuka atau rasuah halal? Beberapa tokey sanggup membeli potret pemimpin PH. Potret PM ada yang terjual dengan harga RM500,000 dan RM350,000.
"Apakah mereka yang membida itu tidak ada tujuan lain iaitu membida gambar pemimpin dengan bayaran tinggi untuk melobi kontrak kerajaan? Apatah lagi ada yang membida itu adalah ahli perniagaan kontroversi,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya hari ini.
Mohd Puad berkata, rakyat juga berhak curiga niat pembida ini mempunyai udang di sebalik batu.
"Ada tokey yang dapat projek membina Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), mungkin tokey ini bimbang projek beliau dibatalkan,” katanya.
Mohd Puad menambah, potret pemimpin PH dibida sehingga menjana jutaan ringgit.
"Wan Azizah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata ini adalah kutipan derma politik yang telus.
"Tetapi kita bimbang ini adalah keterbukaan yang melindungi rasuah yang berlaku di belakangnya.
"Maka wajar Akta Dana Politik di bawa segera ke Parlimen. Jangan nanti derma politik parti lawan dituduh sebagai duit curi tetapi didakwa menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
"Lebih teruk akaun parti lawan dibeku sewenang wenangnya,” katanya lagi.