Tapak sampah haram: ADUN Dusun Tua cari 'Haji Shariff'

Iklan
Tangkap layar hantaran video Edry Faizal yang membuat tinjauan di tapak pelupusan sampah haram berkenaan.

HULU LANGAT - Penduduk sekitar kawasan perumahan Taman Pinggiran Delima Fasa 1 di sini berhadapan dengan masalah bau busuk dan asap kesan daripada pelupusan sampah secara haram sejak berbulan lamanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, masalah itu timbul selepas ada pihak yang tidak bertanggungjawab melupuskan sampah secara haram di kawasan berhampiran taman perumahan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kepada yang masih ingat ini adalah (isu) tapak sampah haram yang saya bawa dalam Dewan Negeri baru-baru ini," katanya semasa membuat tinjauan di tapak pelupusan sampah berkenaan.

Dalam pada itu, Edry Faizal mengakui tindakan telah diambil oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) malah lori-lori yang membawa sampah ke tapak pelupusan itu juga sudah ditahan.

Masalah bau busuk dan asap kesan daripada pelupusan sampah secara haram dihadapi penduduk sekitar Taman Pinggiran Delima Fasa 1 sejak berbulan lamanya.

Iklan

Menurutnya, perkara itu juga dalam perhatian Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat yang sedang mengesan pemilik tanah berkenaan untuk siasatan lanjut serta diambil tindakan yang sewajarnya.

Edry Faizal menambah, buat masa ini beliau akan membantu pihak berkuasa berkaitan menyelesaikan masalah kebakaran di tapak tersebut sebelum mengesan pemilik tanah termasuk operator sampah haram terbabit.

Iklan

"Di Dewan (Negeri) Exco (berkaitan) sudah menjelaskan masalah sampah haram ini perlu undang-undang lebih keras, kita perlu pinda enakmen dan kita perlu kelulusan di peringkat Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran dan kerajaan Persekutuan perlu bersama-sama membantu kerajaan negeri untuk memperkemas serta mengetatkan lagi undang-undang.

Penduduk turut menaikkan kain rentang sebagai membantah aktiviti haram itu berlarutan.

"Persekutuan kena sama-sama bantu pihak negeri untuk kita ketatkan, kuatkan lagi undang-undang supaya undang-undang kita ada 'taring', ada 'kuku' untuk betul-betul kita selesaikan masalah sampah haram ini," katanya.