Banjir: LZNK sumbang 24,000 kampit beras ke Kelantan, Terengganu

Iklan
Tengku Sarafudin Badlishah berkenan memasang pelekat kenderaan sempena Majlis Pelepasan Konvoi (Flag-Off) Misi Bantuan Banjir ke Kelantan dan Terengganu di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyumbang 24,000 kampit beras lima kilogram (kg) bernilai RM300,000 bagi membantu mangsa banjir terjejas di Kelantan dan Terengganu.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban mangsa terlibat di kedua-dua negeri.

Dalam masa sama, baginda turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian banjir melanda negeri-negeri terlibat.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan laporan pada 22 Disember lepas, masih ramai yang terkandas (akibat) banjir. Kita patut tolong antara satu sama lain, tidak kira negeri mana pun terkena banjir.

"Kita semua duduk bawah satu negara, rakyat satu negara (maka) perlu saling membantu," titah baginda kepada pemberita ketika berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi (Flag-Off) Misi Bantuan Banjir ke Kelantan dan Terengganu di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, bantuan beras terbabit akan dihantar menggunakan empat treler dengan 12,000 kampit akan diserahkan ke Kelantan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) manakala 12,000 kampit beras lagi akan diserahkan di Terengganu melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Misi ini juga akan turut disertai konvoi daripada Syarikat Mudim Zakaria Industries Sdn Bhd yang merupakan muzzaki iaitu pembayar zakat kepada LZNK akan turut menyalurkan sumbangan sebanyak 2,400 botol kicap Mudim kepada mangsa," katanya.

Iklan

Beliau menyatakan, jumlah keseluruhan kenderaan mengikut 15 kenderaan dengan diiringi empat kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan sebuah kenderaan pengiring dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah.