Antibodi lemah, ibu tunggal makan 12 biji ubat sehari

Iklan
Haszita melihat anaknya memicit kakinya yang bengkak.

SEREMBAN - Seorang ibu tunggal tidak menyangka kakinya yang membengkak dan mengalami bintik merah seakan ruam secara tiba-tiba rupa-rupanya petanda menghidap penyakit antibodi lemah.

Haszita@Hazita Abu Taib, 41, mula diuji penyakit itu sejak November lalu yang menyebabkan pergerakannya terhad dan perlu mengharapkan bantuan daripada dua anak, Hasminatul Syahzanani Nasuha Mohd Helmi, 16, dan Mohammad Hasmi Amirul Mohd Helmi, 13.

Iklan
Iklan

Malah dia turut berdepan masalah thrombocytopenia atau tahap platelet rendah, sukar untuk bercakap dan tangan mudah menggigil jika gemuruh.

Menurutnya, disebabkan keadaan kesihatannya itu dia kini terpaksa mengambil cuti sakit dan perlu makan 12 biji ubat sehari.

Iklan

"Sebelum disahkan menghidap penyakit itu, selama dua minggu saya tidak boleh bergerak.

"Saya cuba dapatkan rawatan di sebuah klinik di sini, tapi tiada perubahan menyebabkan saya buat keputusan ke sebuah hospital swasta di Seremban dan terpaksa ditahan di wad selama seminggu," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Jasmin di sini pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, doktor memaklumkan penyakit antibodi lemah yang dihadapinya itu jarang berlaku dan dipercayai disebabkan kekurangan zat dalam badan.

Apa yang menjadi kebimbangan Haszita ialah sampai bila dia perlu menanggung derita penyakit itu kerana perlu bekerja bagi menanggung anak-anak.

"Doktor beritahu penyakit saya boleh sembuh dengan makan ubat, tapi mengambil masa yang agak lama.

Buat masa ini katanya, dia perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital dan terpaksa meminta ihsan daripada rakannya untuk ke sana kerana tidak kuat untuk memandu.

Oleh sebab itu dia sangat berharap jika ada mana-mana pihak yang dapat membantu untuk urusan pengangkutannya ke hospital.

"Sebelum ini saya tiada masalah perbelanjaan harian dan cukuplah pendapatan bulanan RM1,800 untuk saya menyara keluarga serta membayar sewa rumah RM400 sebulan.

"Tapi sekarang terjejaslah sikit kerana syarikat telah memotong separuh gaji saya kerana cuti sakit terlalu lama," katanya.

Jelas Haszita, dia dalam proses memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dikunjungi agensi itu minggu lalu.

Bagi sesiapa yang berhasrat membantu boleh salurkan kepada Haszita di nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08102-29-00003819-2.