KUALA SELANGOR - Kira-kira 60 nelayan pesisir pantai di sini meminta kerajaan membaik pulih segera Jeti Pengkalan Nelayan Sungai Assam Jawa yang usang dan rosak akibat sering dilanda ribut.
Seorang nelayan Mohd Faizal Baba, 43, berkata, keadaan jeti nelayan itu terlalu daif dan memerlukan baik pulih segera.
Menurutnya, sebuah stor yang digunakannya untuk menyimpan peralatan menangkap ikan yang dibina sejak 10 tahun lalu di jeti itu juga roboh akibat dipukul ribut.
"Saya kerugian lebih RM30,000 apabila stor dibina runtuh sebulan lalu menyebabkan beberapa barangan seperti jaring ikan, peti sejuk beku, minyak petrol dan tong ikan dihanyutkan arus deras," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Faizal yang menjadi nelayan sejak berusia 13 tahun berkata, pada masa ini dia tidak bercadang untuk menggantikan stor itu berikutan tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.
Dalam pada itu, Aziz Malik, 58, berkata, rata-rata nelayan bimbang tentang keselamatan mereka setiap kali menggunakan jeti itu.
Menurut Aziz, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan jeti itu roboh yang akan menyebabkan kesukaran nelayan membawa minyak dan alatan ke pelantar jeti.
"Jika jeti ini dibiarkan dalam keadaan usang, kami bimbang tidak dapat turun ke laut sekali gus hilang punca pendapatan," katanya.
Mohd Asri Hashim, 56, pula berkata, jeti itu perlu dibaik pulih segera untuk memberi keselesaan kepada nelayan.
Menurutnya, keadaan lantai kayu jeti terlalu daif memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
"Rezeki kami tidak menentu dan jika jeti ini bertambah teruk bagaimana kami hendak turun ke laut terutama ketika musim tengkujuh dan keadaan laut bergelora," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Assam Jawa, Ramli Yusup berkata, jeti nelayan itu dibina secara konkrit hasil peruntukan kerajaan negeri pada tahun 2008.
Bagaimanapun, katanya, pertambahan jumlah nelayan dan faktor jeti itu semakin berusia menyebabkan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan segera.
"Kita berharap isu dibangkitkan nelayan ini dapat ditangani segera kerana rata-rata mereka bergantung punca rezeki ke laut untuk menyara kehidupan keluarga.
"Saya meminta kerajaan memperhalusi dan mempertimbangkan rayuan mereka ini untuk menaik taraf dan baik pulih jeti ini supaya lebih selamat dan selesa untuk kegunaan nelayan," katanya.