Majikan kurang 5 pekerja dibenar tangguh laksana gaji minimum

Iklan
V Sivakumar. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Pelaksanaan kuat kuasa Perintah Gaji Minimum (PGM) bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja ditangguhkan daripada 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada 2023.

Sebelum ini PGM 2022 telah berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Bagi majikan yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja pula, mereka diberi pengecualian, dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Sementara itu Sivakumar berkata penangguhan tambahan selama enam bulan itu diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan.

"Ini sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja,” katanya.

Menurutnya, majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan tanpa mengira jumlah pekerja, masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 yang bermula pada 1 Mei 2022.

Katanya ia termasuk majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Clasiffication of Occupation, MASCO).

"Justeru itu, majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” katanya. - Bernama