Awal Ashaari kemuka representasi gugur pertuduhan khianat

Iklan
Awal Ashaari (kiri) didakwa atas pertuduhan kes khianat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.
KUALA LUMPUR - Selebriti Awal Ashaari telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

Peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata pihaknya memfailkan representasi itu pada bulan November lepas.

Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama