KANGAR - Bagaikan pesta! Itulah suasana yang dapat digambarkan ketika melihat ratusan orang turun ke laut meredah air sedalam dua meter sehingga jarak satu kilometer untuk mencari mentarang.
Mereka turut mengenakan stokin panjang dan berkasut getah serta membawa bersama tong atau baldi untuk mengisi hasil tangkapan.
Suasana berkenaan hanya dapat dilihat di Pantai Kuala Sungai Baru di sini yang turut menjadi tumpuan orang luar termasuk Kedah untuk merasai pengalaman mencari mentarang atau disebut ‘selam mentarang’.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sungai Baru, Hamzah Ahmad berkata, mentarang di kawasan terbabit sangat istimewa dan rasanya sangat berbeza dari kawasan lain.
"Dia sedap dari tempat lain, tak sama tempat di sini tanah liat di tempat lain tanah berpasir tu kelebihan dia," katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, aktiviti selam mentarang biasanya dilakukan seawal subuh dan lewat petang.
"Sudah tiga tahun mentarang di perairan Perlis berkurangan, Alhamdulillah tahun ini ada balik dan boleh jadi rezeki tambahan kepada penduduk sekitar," katanya.
Penduduk Kuala Sungai Baru Tengah, Safarizal Ramli berkata, dengan kemahiran yang dimiliki, mereka berjaya mengutip mentarang mencecah 50 kilogram (kg) sehari.
"Dia ada lubang seluk dalam lubang tu dia ada di bawah tu, kelmarin dapat 40kg, 50kg. Ikut hari juga, hari ini kurang sikit, tapi alhamdulillah," katanya.
Penduduk, Nurulhisham Yaakob berkata, mentarang boleh dimasak dengan pelbagai cara namun yang paling sedap dibakar dan dicicah dengan air asam.
"Mentarang ni macam-macam jenis masakan boleh buat, yang pertama sekali rebus macam biasa pun boleh, gulai pun boleh.
"Kalau orang tua-tua mereka buat kerabu campur dengan taugeh dan bahan-bahan lain. Mereka suka buat sayur manis, campur dengan tembikai boleh, campur dengan umbut pisang pun boleh," katanya.
Mentarang
- nama saintifiknya Pholas orientalis
- sering didapati di kawasan perairan ketika peralihan monsun
- harga pasaran antara RM7 - RM10 sekilogram
- sedap dibakar dan dicicah dengan air asam
- harga jual kepada peraih: RM8-RM10 sekilogram
- harga jual, niaga: RM11-RM15 sekilogram