SHAH ALAM - Kontraktor pembersihan yang dilantik diingatkan tidak culas melaksanakan kerja-kerja menangani banjir di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu berkata, pihak kontraktor diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan sebaliknya perlu melaksanakan kerja pembersihan dengan amanah dan jujur.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pihaknya mengambil langkah persediaan membersihkan longkang dan parit di sekitar kawasan yang mudah ditakungi air.
"Ia antaranya melibatkan Jalan Kampung Batu 7 atau Jalan Kubur Berjaya Park.
"Selain longkang konkrit yang sudah lama tidak dibersihkan, air turut bertakung di atas jalan," ujar beliau.
Mohamad memberitahu, penduduk yang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu menemui beberapa halangan laluan air yang menjadi faktor banjir kilat.
"(Masalah) ini yang kadang-kadang jadi banjir kilat," katanya.
Sebelum itu, penduduk kawasan itu meluahkan rasa kesal dengan kekerapan banjir kilat apabila hujan lebat.