GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi melecur selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.15 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan itu membabitkan lima penunggang motosikal termasuk seorang daripadanya melecur kerana kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
Pada Selasa, tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan kemalangan membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi berlaku di Kilometer (KM) 26.5 hala barat (Genting Sempah ke Gombak) menyebabkan kesesakan 8.5km dari KM35 sehingga ke lokasi kemalangan pada Selasa.
Lebuhraya Pantai Timur di Facebook memaklumkan lorong perlahan dan tengah masih boleh dilalui kenderaan di lokasi kejadian.