TEL AVIV - Parlimen (Knesset) Israel pada Selasa meluluskan undang-undang kontroversi yang membuka jalan kepada Benjamin Netanyahu untuk kembali memegang jawatan Perdana Menteri.
Kelulusan itu diberikan beberapa hari sebelum pemimpin Parti Likud itu dijadualkan membentangkan barisan kerajaan gabungan bersama parti ultra-ortodoks dan blok ekstremis berhaluan kanan pada Khamis ini.
Di bawah langkah itu, anggota Knesset memberi lampu hijau kepada undang-undang pertama yang membenarkan mana-mana individu yang disabit kesalahan, namun tidak dihukum penjara untuk berkhidmat sebagai menteri.
Sebelum ini, terdapat ketidakpastian sama ada sekutu utama daripada parti ultra-ortodoks, Aryeh Deri boleh memegang jawatan menteri selepas beliau pernah mengaku bersalah berhubung kes cukai.
Knesset turut meluluskan undang-undang kedua yang membenarkan dua menteri berkhidmat dalam jawatan yang sama.
Langkah itu ditujukan kepada Kementerian Pertahanan yang mana pemimpin blok Religious Zionism, Bezalel Smotrich bakal dilantik sebagai menteri yang mengawal hal ehwal awam di wilayah diduduki di Tebing Barat.
Knesset juga sebulat suara meluluskan undang-undang untuk memperluaskan kuasa Menteri Keselamatan Negara iaitu portfolio yang akan diserahkan kepada pemimpin ekstremis, Itamar Ben Gvir.
Sidang dewan itu juga menyaksikan Yariv Levin yang merupakan sekutu Netanyahu meletak jawatan sebagai Speaker sementara Knesset selepas beliau juga dijangka dilantik untuk memegang jawatan di salah sebuah kementerian.
Netanyahu yang berdepan kes rasuah pernah menjadi Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat dan bakal dilantik semula di bawah kerajaan gabungan baharu tersebut. - AFP