SHAH ALAM - Anggota Bomba dan Penyelamat Subang Jaya ( JPBM), Muhammad Adib Mohd Kassim berada dalam keadaan separuh sedar ketika diseret sekumpulan individu.
Ia disebabkan kecederaan dialaminya iaitu kepatahan tulang rusuk dan kecederaan parah paru-paru akibat hentaman bebanan hampir 2,500 sehingga 3,000 newton pada pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Pesara Perunding Kanan Forensik dan Patalogi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Professor Dr Shahrom Abdul Wahid berkata, Muhammad Adib, 24, juga mulai rasa sakit akibat kecederaan tersebut.
"Kemungkinan dia separa sedar dan mulai rasa kesakitan," katanya.
Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa berada dalam keadaan terkejut atau sangat sakit.
"Keadaan itu boleh merangsang saraf vagus dan mempercepatkan dengupan jantung," katanya menjawab soalan balas oleh Pegawai Pengendali Inkues Hamdan Hamzah.
Hamdan: Adakah mangsa menyedari diseret? Saksi: Dia mungkin sedar ditarik tetapi untuk meronta-ronta dia tidak boleh.
Hamdan: Sewaktu geseran berlaku, seluar mungkin boleh ada kesan geseran? Saksi: Iya.
Dr Shahrom yang juga saksi ke 29 Inkues Kematian Muhammad Adib turut mengesahkan terdapat kesan geseran pada seluar celoreng mangsa (eksibit I-45).
"Jika dilihat pada bahagian punggung seluar ini, benangnya berbulu- bulu dan ada yang putus menunjukkan tanda jelas diseret," katanya.
Hamdan: Mangsa ahli bomba dan sihat. Dia ada ruang untuk selamatkan diri, tetapi dalam teori prof ini, mangsa seolah-olah tidak bertindak.
Saksi: Pada pendapat saya dia tak menjangkakan dia serang. Orang yang datang ke situ (arahnya) dia ingat tiada apa-apa (berlaku) kerana kemungkinan untuk bomba diserang tiada. Namun tiba-tiba orang ini yang merentap mangsa.
Terdahulu, peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon mahkamah agar Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang duduk bersama Pegawai Pengendali Inkues supaya berada di galeri awam.
"Dalam prosiding lalu, saksi itu dilihat mencadangkan soalan kepada Pegawai Pengendali Inkues dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana Dr Ahmad Hafizam adalah salah seorang saksi" katanya.
Peguam keluarga, Kamaruzaman A Wahab turut membantah kedudukan Dr Ahmad Hafizam yang juga saksi ke-24 dan memohon mahkamah merekodkan bantahan tersebut.
Hamdan kemudiannya berhujah berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Koroner, Rofiah menolak permohonan Syazlin dan membenarkan Dr Ahmad Hafizam mengekalkan kedudukannya dengan syarat tidak mengemukakan soalan kepada pegawai inkues.
Prosiding ikuiri memasuki hari ke-27 dan bersambung semula esok.
Muhammad Adib cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.