HARIMAU Malaya mencatatkan kekalahan pertama kempen Piala AFF 2022 selepas tewas kepada Vietnam 0-3 dalam aksi di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Selasa.
Kemenangan Vietnam itu turut dibayangi dengan keputusan kontroversi pengadil, Ryuji Sato memberikan penalti kepada pasukan tuan rumah dan kad merah kepada pertahanan negara, Azam Azmi Murad yang didakwa mengasari Doan Van Hau pada separuh masa kedua.
Vietnam membuka tirai jaringan menerusi Nguyen Tien Linh pada minit ke-28 selepas menanduk bola sepakan sudut yang diambil oleh Do Hung Dong.
Empat minit kemudian, skuad Naga Emas terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila Nguyen Van Toan dilayangkan kad kuning kedua selepas dia mengasari pertahanan negara, Dominic Tan.
Harimau Malaya cuba menggunakan peluang tersebut dengan menggandakan asakan ke kubu pasukan tuan rumah.
Peluang terbaik skuad negara tiba menerusi Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-40, namun tandukannya berjaya ditepis oleh Dang Van Lam.
Pemain tengah Selangor itu sekali lagi menghadirkan ancaman pada minit ke-44 apabila berjaya mengelecek pertahanan Vietnam di dalam kotak penalti, sebelum melepaskan rembatan lemah yang diselamatkan oleh Van Lam.
Usaha skuad negara untuk bangkit pada babak kedua terbantut selepas skuad negara juga terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Azam Azmi dilayangkan kad merah pada minit ke-62 selain pengadil menghadiahkan penalti kontroversi kepada pasukan Vietnam.
Que Ngoc Hai menyudahkan sepakan penalti dengan menghalakan bola ke sebelah kanan memperdayakan Ahmad Syihan Hazmi yang terbang ke arah bertentangan.
Tuan rumah tidak mengendurkan asakan walaupun telah mendahului dengan dua jaringan apabila menambah gol menerusi Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.
Harimau Malaya dijadualkan menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Januari depan.