PEMBONGKARAN sindiket kartel daging import haram di Senai, Johor yang melibatkan pemalsuan pelabelan logo halal kira-kira dua tahun lalu hingga menggemparkan negara ternyata masih ‘berbekas’ kepada industri halal di Malaysia.
Ia dibuktikan dengan pendedahan oleh Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) bahawa keyakinan terhadap jenama sektor halal negara semakin menurun ketika ini.
Menurut Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim, keadaan itu berlaku disebabkan isu integriti membabitkan industri tersebut yang mana antara perkara terbesar adalah membabitkan pemalsuan label logo halal.
Ujarnya lagi, kerajaan juga dilihat masih belum menangani perkara tersebut secara menyeluruh bagi membolehkan keyakinan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa dapat dipulihkan.
Situasi ini katanya, turut menjejaskan jenama sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang selama ini dihormati dan diyakini ramai.
Helmi dalam masa sama turut mencadangkan supaya kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengadakan perbincangan bersama dengan pemegang taruh industri halal di dalam negara bagi menyelesaikan isu intergriti secara menyeluruh.
Beliau menjelaskan, usaha itu perlu bagi mencari penyelesaian yang konklusif terhadap isu daging tidak halal yang boleh masuk ke pasaran di dalam negara.
Kebimbangan yang diluahkan MEH ini seharusnya diberi perhatian menyeluruh oleh kerajaan untuk mencari formula terbaik dalam mengembalikan keyakinan terhadap pensijilan halal Malaysia ini.
Umum mengetahui, pensijilan halal Malaysia merupakan antara terbaik dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun hanya disebabkan pendedahan mengenai status daging halal import yang diragui itu, imej industri tersebut tercalar sehingga kini.
Keadaan itu membuktikan bahawa masyarakat Malaysia dan antarabangsa khususnya umat Islam sememangnya memandang serius terhadap status halal sesuatu produk termasuklah daging.
Paling utama yang perlu dilakukan segera oleh kerajaan adalah dengan memastikan isu integriti dan kelompongan tentang kesahihan sijil halal ditangani dengan sebaiknya.
Selain itu, aspek penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan supaya tiada ruang dapat digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan demi keuntungan diri sendiri.
Justeru, adalah menjadi harapan besar seluruh rakyat untuk melihat tindakan menyeluruh oleh kerajaan dalam mengembalikan keyakinan jenama halal negara ini.
Malah, seiring dengan kedudukan Malaysia yang terkenal sebagai hab halal di pasaran antarabangsa, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan pengiktirafan ini kekal di tahap terbaik tanpa wujudnya sebarang isu yang boleh menggugat keyakinan mana-mana pihak.
Sebelum ini juga, Malaysia turut dijadikan rujukan asas bagi penyelidikan dan analisis ekosistem halal di peringkat global oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Pusat Kecemerlangan Bank Pembangunan Islam Kuala Lumpur (IsDB).
Penyelidikan ekosistem berkenaan akan dimulakan di Malaysia dan kemudiannya akan diperluas secara berperingkat ke ekosistem halal di negara-negara yang berpotensi di Asia Pasifik; Timur Tengah; Afrika; Eropah dan Amerika Syarikat.
Melihat kepada rekod baik dan ‘penghormatan’ pihak antarabangsa terhadap negara dalam industri itu jelas memperlihatkan potensi besar untuk Malaysia mengekalkan kedudukan terbaik dalam hab halal.
Kini, hanya langkah terbaik oleh kerajaan untuk menangani sebarang ketidakyakinan ramai itu antara yang ditunggu-tunggu supaya dapat meningkatkan semula imej jenama halal negara.
Malaysia harus kekal berada di hadapan dalam industri halal kerana ia bukan sahaja mampu menarik pelabur antarabangsa tetapi juga lebih penting demi kesejahteraan rakyat yang majoritinya beragama Islam.
Jika langkah yang bakal diambil kerajaan tepati usaha untuk memulihkan imej, tidak mustahil kisah pembongkaran kartel haram yang turut melibatkan pemalsuan pelabelan logo halal dapat dihakis sepenuhnya.
Seterusnya, ia dapat mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pensijilan halal Malaysia yang sememangnya diketahui antara yang terbaik sebelum ini.
Buat kerajaan, lakukanlah yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, apatah lagi apabila ia melibatkan isu halal dan haram sesuatu produk terutamanya makanan kerana ia tiada kompromi.
* Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian