KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tegas, tapi pemaaf. Itulah sikap Allahyarham Datuk Nik Naizi Husin yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam 11.40 malam Selasa.
Anak ketiga kepada Presiden Kelab Media Pahang itu, Nik Ahmad Amirul Husain Nik Naizi, 29, berkata, arwah bapanya juga seorang yang kelakar ketika bersama keluarga mahu pun kenalannya.
Menurut Nik Ahmad Amirul Husain, sikap bapanya yang sebegitu membuatkan arwah disenangi oleh semua orang.
"Arwah ayah saya tegas, kelakar pun ada dan sentiasa bersikap positif. Malah, saya sekeluarga dapat melihat arwah ayah yang suka memaafkan orang.
"Arwah ayah tidak duka berdendam dengan orang dan kalau ada masalah dia (arwah) dahulu akan hulurkan tangan meminta maaf," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Setali, Jalan Haji Ahmad Kuantan pada pagi Rabu.
Nik Ahmad Amirul Husain memberitahu arwah bapanya suka memberi nasihat kepada anak-anak jika ada perkara kurang menyenangkan.
Nik Ahmad Amirul Husain turut mengucapkan terima kasih kepada semua kenalan termasuk rakan media Pahang yang banyak membantu termasuk menguruskan jenazah Allahyarham.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan rasa duka setelah menerima perkhabaran mengenai pemergian Allahyarham Nik Naizi.
"Allahyarham sangat aktif dan kami sering bersua dalam majlis serta program yang saya hadiri.
"Saya doakan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Semoga ahli keluarga tabah dan diberikan kekuatan mengharungi dugaan ini," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Allahyarham Nik Naizi, 63, dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU), Jabatan Kardiologi HTAA selepas mengalami sakit dada pada Ahad.
Bagaimanapun, Allahyarham terpaksa ditidurkan disebabkan keadaannya yang semakin kritikal.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Salma Abdul Samad, 57, empat anak dan enam cucu.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar The Star pada 1April 1982 dan bersara wajib pada September 2019.
Selepas itu, Allahyarham menyambung kontraknya sebagai wartawan di akhbar yang sama sehingga Mac 2020.